PETALING JAYA: Farm Fresh Berhad, antara pengeluar produk tenusu tempatan terbesar di Malaysia, hari ini mengesahkan komitmen berterusan sebagai rakan strategik utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menjayakan Program Susu Sekolah (PSS) bagi tahun 2025.
Komitmen ini diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersempena Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia.
Program Susu Sekolah, yang dilaksanakan di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) KPM, bertujuan menangani isu malnutrisi dan kekurangan zat makanan dalam kalangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.
Perluas manfaat kepada ratusan ribu murid
Bagi tahun 2025, Farm Fresh berbangga dapat membekalkan susu UHT berkualiti tinggi kepada 381,000 murid sekolah rendah yang terpilih dari 3841 buah sekolah rendah di seluruh Malaysia, termasuk kawasan luar bandar,pedalaman dan pulau.
Kontrak perbekalan Program Susu Sekolah ini adalah bagi sesi 2025-2029 (5 tahun) membekalkan susu UHT tanpa perisa secara harian kepada murid-murid Rancangan Makanan Tambahan, Kementerian Pendidikan (KPM) merangkumi pembekalan hampir 78 juta pek setahun .
Bekalan susu ini penting untuk memastikan setiap kanak-kanak menerima nutrisi seimbang yang diperlukan untuk perkembangan fizikal dan mental mereka, seterusnya membantu mereka mencapai potensi penuh dalam pelajaran.
Farm Fresh telah dilantik melalui tender terbuka sebagai pembekal utama bagi 10 negeri di Semenanjung Malaysia, meliputi lima zon berikut: ( Zon 4 : Kelantan, Zon 5 : Terengganu, Pahang , Zon 6: Perlis, Kedah, Zon 7 : Pulau Pinang, Perak ,Zon 8 : Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, Farm Fresh amat berbesar hati diberi kepercayaan oleh KPM untuk terus memainkan peranan dalam program penting ini.
“Pemakanan yang baik adalah asas kepada kecemerlangan pendidikan, kesihatan yang optimum serta pembentukan akhlak yang mulia.
“Melalui PSS, kami bukan sekadar membekalkan susu, kami menyumbang kepada pembinaan generasi masa depan yang sihat, cerdas dan berakhlak,” katanya.
Inisiatif CSR sempena Hari Susu Sekolah Sedunia
Bersempena sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia, Farm Fresh telah merancang beberapa program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai nilai tambah kepada pelaksanaan kontrak perbekalan susu di sekolah-sekolah.
Usaha ini turut disokong oleh rakan strategik Farm Fresh, iaitu Tetra Pak Malaysia, yang membantu dalam penyediaan bahan pendidikan berkaitan program kitar semula serta pelbagai inisiatif kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar.
Antara fokus utama adalah memupuk amalan penggunaan semula dan pengumpulan kotak susu sekolah untuk dikitar semula.
Selain itu, Farm Fresh juga berhasrat untuk menarik lebih ramai rakan kolaborasi daripada sektor swasta dan organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) untuk bersama-sama menyumbang dan memberi manfaat kepada murid-murid yang memerlukan.
Program-program CSR yang telah dirancang adalah seperti Temasya Hari Susu Sekolah 2025 di mana Farm Fresh bekerjasama rapat dengan KPM melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian serta Jabatan Pendidikan Negeri dalam penganjuran sambutan ini sempena Hari Susu Sekolah Sedunia yang diraikan di hampir seluruh negara di dunia.
Peruntukan tahunan bagi pelaksanaan temasya ini dianggarkan sebanyak RM100,000.
Bersempena sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia, Farm Fresh merancang pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai nilai tambah kepada pelaksanaan kontrak perbekalan susu di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Usaha berkenaan turut disokong rakan strategik Farm Fresh, Tetra Pak Malaysia, yang membantu menyediakan bahan pendidikan berkaitan program kitar semula serta inisiatif kesedaran kelestarian alam sekitar, khususnya bagi memupuk amalan penggunaan semula dan pengumpulan kotak susu sekolah untuk dikitar semula.
Farm Fresh turut menyatakan hasrat menarik lebih ramai rakan kolaborasi daripada sektor swasta dan organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) bagi bersama-sama menyumbang dan memberi manfaat kepada murid yang memerlukan.
Antara program CSR yang dirancang ialah Temasya Hari Susu Sekolah 2025, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian serta Jabatan Pendidikan Negeri, bersempena sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang diraikan di hampir seluruh dunia.
Peruntukan tahunan bagi pelaksanaan program ini dianggarkan sebanyak RM100,000.
Selain itu, Program Multidimensi Plus diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada Program Multidimensi terdahulu, dengan sekolah terlibat menerima Smartboard bersaiz 86 inci dan dijadikan Kelas Pendidikan Digital untuk manfaat seluruh warga sekolah.
Nilai sumbangan bagi 10 kelas terpilih di bawah program ini adalah RM150,000 setahun.
Melalui Program ‘School-to-Farm’, murid diberi peluang menyertai lawatan pendidikan ke ladang Farm Fresh di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi melihat proses penternakan lembu tenusu, memahami sumber makanan ternakan serta mendalami kepentingan industri agrikultur moden dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Nilai pelaksanaan program ini dianggarkan mencecah RM80,000 setahun.

Farm Fresh turut memperluaskan inisiatif pendidikan ke peringkat sekolah menengah melalui Dermasiswa Pelajar B40 STPM, yang ditawarkan kepada 500 pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga B40.
Program ini dilaksanakan secara berterusan selama lima tahun, melibatkan 500 pelajar terpilih setiap tahun dengan sumbangan RM100 sebulan, menjadikan nilai keseluruhan sumbangan dianggarkan RM600,000 setahun.
Dalam usaha pencegahan malnutrisi, Pertandingan Susu Subsidi Kebangsaan dilaksanakan setiap tahun melalui penganjuran Jualan Harga Rahmah selama satu hari di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.
Farm Fresh memperuntukkan hampir RM50,000 hadiah tunai kepada 10 sekolah terbaik, selain sumbangan tunai bersamaan lima peratus daripada nilai jualan subsidi kepada setiap sekolah yang menyertai.
Secara keseluruhan, RM200,000 telah disalurkan kepada 140 sekolah sebagai sokongan kepada program pendidikan dan pemantapan pemakanan murid.
Sementara itu, Program Bijak Mengira melibatkan penubuhan 10 kelas tuisyen matematik untuk murid Tahap 1 di 10 negeri dengan penyertaan 500 murid yang mengikuti kelas intensif selama setahun bagi meningkatkan penguasaan matematik, selain menerima bekalan susu sebagai sokongan nutrisi.
Kos pelaksanaan program ini dianggarkan hampir RM40,000 sebulan.
Melalui Program Cakna Komuniti, Farm Fresh melantik hampir 120 usahawan tempatan sebagai penghantar susu ke sekolah-sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan nilai upah penghantaran mencecah RM9.4 juta setahun, sekali gus menyediakan peluang ekonomi dan pendapatan pasif kepada golongan B40.
Farm Fresh juga menganjurkan Program Pendidikan dan Susu Percuma dengan pengedaran lebih 500,000 cawan susu setiap tahun kepada warga akademik merangkumi sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi bagi memupuk amalan minum susu dalam kalangan pelajar.
Selain itu, syarikat terbabit melaksanakan Program Protégé ‘Ready To Work’ di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan pengambilan 50 graduan setahun untuk menjalani latihan industri selama lapan hingga 12 bulan, yang turut merangkumi elaun bulanan RM2,000, caruman SIP dan SOCSO serta peluang pekerjaan selepas tamat latihan.
Komitmen jangka panjang
Farm Fresh terus teguh dengan misi menyediakan produk tenusu yang segar, sihat, dan mampu milik untuk rakyat Malaysia, sambil aktif menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Program Susu Sekolah KPM menjadi platform utama bagi merealisasikan matlamat ini secara berterusan. Selain itu, Farm Fresh komited untuk bekerjasama dengan NGO bagi membantu sekolah dan murid yang memerlukan.
Dengan pemakanan yang seimbang dan berkualiti, Farm Fresh yakin dapat menyokong pembentukan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia. – UTUSAN










