PETALING JAYA: BELIA MAHIR menyambut baik Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 kerana kedua-duanya membawa reformasi penting bagi memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, khususnya dari sudut peluang belia dan kesiapsiagaan industri.
Presiden Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan berkata, pindaan tersebut memberi mesej jelas bahawa kerajaan serius membina sistem TVET yang relevan dengan keperluan pasaran kerja sebenar serta tidak membebankan golongan belia.
Katanya, dari perspektif belia, TVET kini lebih terbuka, fleksibel dan munasabah untuk masa depan.
“Bagi golongan belia yang sedang dan bakal menyertai TVET, pindaan ini memberi mesej jelas bahawa Malaysia serius membina laluan kerjaya yang relevan, tidak membuang masa serta selaras dengan keperluan industri sebenar,” katanya.
Menurut beliau, antara manfaat utama pindaan itu kepada belia ialah pengenalan laluan modular melalui Sijil Kemahiran Modular Malaysia yang lebih fleksibel.
Katanya, ia membolehkan belia menaik taraf kemahiran secara berperingkat mengikut kemampuan dan keperluan kerjaya tanpa perlu mengambil semua modul serentak.
“Selain itu, pengiktirafan bidang teknologi termaju membuka peluang besar kepada belia menceburi bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, automasi, kenderaan elektrik (EV) dan teknologi hijau yang menawarkan gaji lebih tinggi serta kerjaya jangka panjang.
“Pewujudan kategori pakar kemahiran dan pakar kemahiran kanan pula, katanya, memberi motivasi kepada belia untuk membina kerjaya teknikal sehingga ke tahap pakar, bukan sekadar kekal sebagai juruteknik,” katanya.
Beliau berkata, peluasan pembiayaan latihan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada program luar NOSS yang diiktiraf turut membuka lebih banyak pilihan serta memudahkan belia menyertai program berimpak tinggi, termasuk kerjasama antarabangsa.
“Penguatkuasaan lebih tegas terhadap peminjam tegar pula menambah keadilan kepada belia yang berdisiplin dan memastikan dana pinjaman kekal mampan untuk generasi seterusnya,” katanya.
Mengulas perspektif industri, Mohammad Rizan berkata, sistem TVET kini menjadi lebih berpatuhan, teratur dan menepati standard melalui pentauliahan yang lebih ketat dan tersusun, termasuk tempoh pentauliahan sehingga enam tahun serta mekanisme penggantungan dan pembatalan yang jelas.
“Peluasan peranan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) dengan penyertaan wakil industri termasuk Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) akan memastikan keputusan yang dibuat selari dengan keperluan pasaran kerja.
“Selain itu, pengiktirafan program teknologi termaju membolehkan industri seperti semikonduktor, automasi, EV, robotik dan AI mengambil graduan TVET yang telah diselaraskan dengan teknologi terkini tanpa perlu latihan semula dari awal,” jelasnya.
Katanya, pengurusan kutipan balik PTPK yang lebih tegas juga menjamin kemampanan dana latihan agar industri tidak kekurangan bakat pada masa hadapan.
“Secara keseluruhan, pindaan ini membawa TVET lebih dekat dengan realiti industri untuk melahirkan tenaga kerja yang benar-benar sesuai dengan keperluan industri, bukan sekadar lulus peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata, RUU TVET (Pindaan) 2025 merupakan langkah strategik bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan bakat global, dengan belia memperoleh laluan kerjaya yang lebih fleksibel dan bermakna, manakala industri mendapat tenaga kerja berkualiti dan diyakini.
Tambahnya, BELIA MAHIR berpandangan pindaan ini bukan sahaja menyelesaikan isu struktur TVET, malah membuka peluang baharu untuk meningkatkan taraf hidup belia serta memperkukuh daya saing negara.
“BELIA MAHIR kekal komited meneruskan peranan sebagai jambatan antara belia, latihan dan kerjaya dalam menyokong aspirasi negara melahirkan generasi bakat TVET yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN










