UiTM disaran jadi perintis universiti usahawan TVET global - Ahmad Zahid

UiTM disaran jadi perintis universiti usahawan TVET global – Ahmad Zahid

UiTM TVET
AHMAD Zahid Hamidi berucap pada program Outreach Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), di UiTM Cawangan Selangor, Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) disaran menjadi perintis universiti usahawan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) global di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai kursus di universiti termasuk teknikal bukan hanya memfokuskan kepada mencari pekerjaan namun perlu mewujudkan lebih ramai usahawan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu, para usahawan boleh mencipta pekerjaan untuk mengambil untuk graduan bekerja dalam bidang sama.

“UiTM mempunyai jumlah mahasiswa yang ramai dan banyak kursus ditawarkan dalam pelbagai bidang termasuk TVET. Maka, saya saran kita mulakan UiTM sebagai universiti yang memfokuskan latihan keusahawanan di peringkat negara seterusnya di ASEAN dan global.

“Namun, penekanan perlu dilakukan bagi mewujudkan usahawan yang lebih profesional atau teknousahawan,” katanya ketika ditemui pada program Outreach Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap berkata, kadar pengangguran Bumiputera kini berada pada empat peratus lebih tinggi daripada kadar nasional.

“Daripada hampir 388,000 yang menganggur, 70 peratus adalah belia berumur 15 hingga 30 tahun yang majoriti anak Bumiputera.

“Ini cabaran besar yang harus kita tangani dan peluang untuk bangkit bersama. Kita mesti mencipta kerja bukan hanya mencari kerja sekali gus memperkukuh agenda TVET dan keusahawanan secara bersama,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil kajian turut mendapati latihan keusahawanan, perniagaan dan perakaunan boleh melahirkan lebih ramai usahawan dalam negara.

“Menerusi sokongan PuTERA35 bagi pembiayaan, inkubasi dan kerjasama industri, saya yakin UiTM mampu muncul sebagai pusat usahawan TVET unggul di rantau ini.

“Kita mesti berjalan ke hadapan bagi menyenaraikan lebih banyak syarikat Bumiputera di Malaysia dan Insya Allah menjelang akhir tahun ini akan ada lagi (syarikat disenaraikan),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UiTM diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM6 bilion yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan baru-baru ini.

“Kerana jumlah mahasiswa yang ramai, maka tentunya kualiti perlu diberi penekanan terutama kursus-kursus profesional.

“Keputusan peperiksaan pelajar juga mesti lebih baik sekali gus berada di barisan hadapan. Jadi, ianya baru berbaloi dengan peruntukan yang diberikan itu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN