KUALA LUMPUR: Pengarah filem Duyung: Legenda Aurora, Prof Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen tidak menafikan penggunaan kecerdasan buatan janaan (AI) dalam naskhah terbaharunya namun amat minimum, iaitu sekitar dua hingga tiga peratus sahaja.
Menurutnya, suntingan selebihnya melibatkan penggunaan imej janaan komputer (CGI) bagi menyempurnakan aspek visual memandangkan mereka berhadapan masalah cuaca semasa penggambaran.
“AI kini memainkan peranan besar dalam pelbagai industri, namun tidak bermakna keseluruhan filem dihasilkan menggunakan AI. Dalam Duyung: Legenda Aurora, hanya beberapa syot tertentu sahaja menggunakan AI, manakala selebihnya disulami dengan CGI.
“Sebenarnya penggunaan AI tidak banyak, hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja, melibatkan syot tertentu yang dikaji dan diperbetulkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan perdana filem itu, baru-baru ini.
Tambah Razak, tayangan kepada pihak media pada 17 Disember lalu bukanlah versi akhir memandangkan pihak produksi akan melakukan proses penambah baikan sebelum filem tersebut ditayangkan secara rasmi pada 25 Disember ini.
“Menjelang tarikh tayangan, beberapa penambahbaikan masih dilakukan. Dalam proses mendapatkan sudut kamera dan visual tertentu, ia memerlukan penjanaan dan penelitian semula.
“Kami mempunyai kira-kira 270 syot yang perlu disemak dalam tempoh dua hingga enam minggu, termasuk penambahbaikan pada kostum duyung yang memerlukan sentuhan CGI bagi mendapatkan elemen realistik. Itu semua adalah CGI, bukannya AI,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razak menegaskan adalah tidak adil untuk membandingkan filem tempatan dengan naskhah luar negara dari segi kualiti visual kerana kekangan bajet yang jauh berbeza.
“Filem ini hanya mempunyai bajet sekitar RM2 juta. Jika dibandingkan dengan filem Hollywood yang membelanjakan antara 20 hingga 100 juta dolar Amerika, jurangnya terlalu besar.
“Kita menggunakan mungkin sekitar satu peratus sahaja daripada bajet mereka. Ini satu cabaran besar, namun saya percaya industri tempatan sedang berusaha memperkukuh kualiti dengan sokongan semua pihak, termasuk media,” katanya.
Mengulas lanjut, Razak berkata sekuel kali ini menampilkan penambahbaikan ketara dari segi jalan cerita dan skala produksi, termasuk pertambahan lokasi penggambaran serta jumlah pelakon.
“Filem Duyung pertama pada 2008 hanya melibatkan sekitar sembilan lokasi. Kali ini, kami tampil dengan 17 lokasi penggambaran.
“Jumlah pelakon juga meningkat daripada lapan atau sembilan orang kepada lebih 20 orang. Semua ini dilakukan berdasarkan maklum balas penonton sebelum ini, selain memperkayakan plot, cabaran dan kepelbagaian lokasi dalam penceritaan,” katanya.
Duyung: Legenda Aurora merupakan sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan lebih moden serta sentuhan visual yang lebih segar.
Filem komedi fantasi terbitan KRU Studios bersama 8 Bit Studio itu dipasarkan oleh Primeworks Studios dan dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember ini. -UTUSAN









