KETIKA penggambaran filem pertama Duyung 17 tahun lalu, tidak ramai yang tahu bahawa pelakon utamanya, Maya Karin, dua kali di ambang maut, hampir lemas akibat kostum yang terlalu berat.
Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, pihak produksi tampil dengan rekaan terbaharu untuk kostum Duyung: Legenda Aurora yang lebih memudahkan pergerakan pelakon walaupun berdepan kecaman kerana dilihat lebih ‘murah’ berbanding kualiti kostum sebelum ini.
Bercerita mengenai itu, sebagai pelakon, Maya atau Maya Karin Roelcke, 46, mengakui kostum baharu lebih selesa dan tidak mengambil masa yang lama untuk dipakai.
“Kostum lama dahulu saya ambil masa sekitar empat jam untuk pakai. Bangun pukul empat pagi sebab nak bersiap, sebelum mula penggambaran pukul lapan atau sembilan pagi.
“Walaupun orang tengok macam seronok filem ini tapi hampir setiap hari rasa ‘seksa’. Kali ini nampaknya mereka lihat juga aspek itu kerana kostum lama bukan sahaja sulit untuk pelakon tapi juga kru. Paling susah, apabila sekali saya pakai kostum itu, tak boleh buka sampai malam.
“Kostum kali ini juga lebih longgar sedikit dan ambil masa 15 hingga 20 minit nak pasang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bukan itu sahaja, jelas Maya, kostum untuk sekuel Duyung lebih fleksibel dan produksi juga lebih berpengalaman dengan menyediakan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan pelakon selepas memakai kostum.
“Kalau ada kecemasan yang memerlukan kita berjalan kaki, kostum kali ini boleh buka. Kalau sebelum ini memang tak boleh tanggal langsung. Terpaksa susahkan kru dan ambil masa.
“Kali ini, kita gunakan satu kerusi roda, kru hanya perlu bawa dan tolak sampai tepi laut atau kolam. Jadi lebih mudah. Nampak yang mereka belajar daripada pengalaman filem terdahulu tidak hanya di darat tapi juga di dalam air,” katanya.
LEMAS
Mengulas lanjut pengalaman hampir lemas, Maya mengakui pada awalnya terbit perasaan risau untuk terlibat dalam sekuel filem ini. Namun, perasaan itu perlahan pudar selepas menghadiri sesi latihan menyelam yang disediakan pihak produksi.
“Ada juga rasa takut, mungkin awal-awal itu gugup sikit. Tapi sebelum penggambaran bermula kita ada buat latihan dan perlu menyelam sedalam lima meter di kolam.
“Saya pula sudah bertahun-tahun tidak menyelam dan hanya mampu buat sedalam tiga meter sahaja. Lebih-lebih lagi dengan kostum terus nak terjun lima meter memang saya tak boleh buat.
“Jadi, saya bincang untuk perlahan-lahan. Bermula dengan dua meter, turun lagi tiga meter sampailah lima meter. Latihan pula waktu malam. Saya boleh buat, tidaklah teruk sangat. Selepas sekali latihan, saya boleh terus masuk dalam laut,” kongsinya.
Bercerita mengenai pengalaman berlakon untuk Duyung: Legenda Aurora, Maya berkata faktor cuaca yang kerap hujan dan dilanda ribut memberi cabaran besar sepanjang penggambaran. Selain itu, dia perlu menahan sejuk air kolam memandangkan penggambaran dilakukan pada waktu malam.
“Orang luar selalu cakap Malaysia seronok sebab panas dan sebagainya. Cuba awak masuk dalam kolam renang pukul sembilan malam lepas hujan ribut. Menggigil ya,” katanya ketawa.
Bagaimanapun, pelakon itu bersyukur kerana tidak mengalami masalah kesihatan baik batuk ataupun demam selepas penggambaran.
Duyung: Legenda Aurora merupakan sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan lebih moden serta sentuhan visual yang lebih segar.
Filem komedi fantasi terbitan KRU Studios bersama 8 Bit Studio itu dipasarkan oleh Primeworks Studios dan dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula 25 Disember ini.










