BUTTERWORTH : Dua anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000, kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Irwan Ason, 40, dan Mohd Effendy Mat Desa, 38, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada Ismail Hashim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan cukai jalan tamat tempoh, memiliki air ketum serta rokok tidak bercukai.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir berdekatan Maybank Taman Desa Damai, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada 20 Julai 2023.
Atas kesalahan tersebut, mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noor Azura Zulkiflee menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin, namun, peguam tertuduh, A. Chandrasegaran mahu jumlah tersebut dikurangkan atas alasan kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan.
Hakim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan kedua-dua mereka menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali. Kes akan disebut semula pada 20 Januari depan.










