PETALING JAYA: Pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong pernah menolak tawaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, Najib pada 2013 telah menghubungi Dong Zong dan mahu memenuhi tuntutan gerakan pendidikan Cina itu untuk mengiktiraf UEC.
Menurut beliau, Najib memberi tawaran pengiktirafan UEC melalui mekanisme kredit dalam Bahasa Melayu.
“Tawaran ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia nyata, boleh dilaksanakan dan realistik dalam kerangka sistem kerajaan pada waktu itu. Namun, Dong Zong menolaknya. Apakah alasan sebenar penolakan tersebut?
“Barisan Nasional (BN) juga memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2018. Ketua Penerangan ketika itu, Tan Sri Annuar Musa turut secara terbuka dan berani menyokong pengiktirafan UEC selepas diberi taklimat oleh Dong Zong,” katanya semalam.
Lian Ker berkata, Pakatan Harapan (PH) pula tidak menetapkan sebarang syarat dalam pengiktirafan UEC dalam manifestonya.
“Sekiranya Dong Zong menerima tawaran Perdana Menteri pada 2013 tersebut, isu pengiktirafan UEC tidak akan berlarutan sehingga hari ini.
“Ribuan pelajar tidak perlu terus menanggung akibat daripada ketegaran politik dan jangkaan yang tersasar. Oleh itu, Dong Zong mesti memikul sebahagian tanggungjawab mengapa UEC masih belum diiktiraf pada 2025,” katanya.
Tambahnya, sekiranya Dong Zong menuntut akauntabiliti daripada ahli politik, gerakan pendidikan Cina itu juga mesti bertanggungjawab kepada rakyat atas keputusan bersejarahnya sendiri.
“Sekiranya benar Dong Zong telah disesatkan oleh janji pengiktirafan UEC tanpa syarat oleh DAP atau PH, maka mereka mesti tampil secara lantang untuk menekan pakatan itu agar menunaikan janji tersebut. Berdiam diri tidak lagi boleh diterima,” katanya. – UTUSAN











