Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit pada 2025

Dividen ASB kekal 5.75 sen seunit pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, jumlah pembayaran keseluruhan adalah sebanyak RM10.42 bilion dan akan memberi manfaat kepada 11.4 juta pemegang unit ASB.

“ASB mengekalkan kadar pengagihan dividennya berbanding tahun 2024 dan terus memberikan pulangan mampan yang mengatasi pasaran apabila ia berjaya meningkatkan jurang daya saing berbanding penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, yang mencatatkan kadar purata 2.29 peratus, kepada 346 mata asas.

“Prestasi pengagihan dividen yang kukuh dan berterusan ini dicapai dalam persekitaran pasaran ekuiti awam domestik yang mencabar, di mana FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pulangan harga sebanyak -0.3 peratus sehingga kini bagi tahun 2025,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat. 

“Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan dividen ASB sebanyak 5.75 sen, dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, iaitu jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan ASB. 

“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN