Cikgu Mohd. Shukri ajar pemimpin Pas erti jiwa besar-MB Kelantan

Cikgu Shukri ajar pemimpin Pas erti jiwa besar – MB Kelantan

MOHD. Nassuruddin Daud (kiri) dan Mohd. Shukri Ramli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Mohd. Shukri Ramli melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis mengajar pemimpin Pas erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian politik.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu membuktikan segala jawatan dan kedudukan bukan bertakhta di hati dan bukan untuk dipegang erat sebagai kemegahan.

“Buat sahabat seperjuangan ambo (saya) yang dikasihi YB (Yang Berhormat) Cikgu Mohd. Shukri Ramli. Sesungguhnya diri mu telah melepasi beban maha berat sebuah kepimpinan.

“Diri mu bukan meminta mahupun melobi di atas satu bebanan yang bakal dipersoalkan hebat di akhirat kelak. Terima kasih mengajar kami erti jiwa besar dalam menghadapi gelombang ujian,” katanya dalam hantaran di platform Facebook.

Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa, semalam.

Surat peletakan jawatan dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari semalam.

Mohd. Shukri yang juga ADUN Sanglang berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Mohd. Nassuruddin berkata, walaupun dipisahkan hanya pada kedudukan dan pangkat, namun persahabatan bersama bekas Menteri Besar Perlis itu kekal akrab dan utuh dalam sebuah jemaah yang dicintai.

“Bertemu dan berpisah kerana jalanNya. Semoga kita tidak menjadi hina di sisi Allah dengan menyalahgunakan jawatan yang diperoleh hasil kepercayaan orang ramai.

“Berusahalah menunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh kerana jawatan adalah suatu amanah. Moga terus istiqamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN