KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (Star) belum rasmi untuk masuk dalam kerajaan Sabah meskipun memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap agenda kerajaan.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang baru mengangkat sumpah hari ini.
Bagaimanapun beliau mengesahkan Barisan Nasional (BN) telah rasmi menjadi salah satu dalam kabinet kerajaan.
“BN sudah rasmi, Star belum,” katanya ketika sidang media di Kediaman Ketua Menteri di Sri Gaya, hari ini.
Terdahulu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN merupakan antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik menganggotai Kabinet Sabah selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
ADUN Sukau daripada BN, Datuk Jafry Ariffin itu dilantik sebagai Menteri baharu Kabinet Sabah.
Istiadat mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman dan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.-UTUSAN










