BUKIT MERTAJAM: Barisan Nasional (BN) berharap agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengampunan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu diingatkan bahawa kuasa mutlak untuk membuat keputusan tersebut terletak sepenuhnya pada Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid berkata, dalam hal ini, semua pihak perlu mengakui hakikat bahawa Najib telah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun selepas melalui keseluruhan proses perundangan yang ditetapkan.
“Saya dan kita semua tidak sanggup melihat Datuk Seri Najib terus meringkuk dalam penjara. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi juga seorang insan yang wajar diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Parti Makkal Sakti di Seberang Jaya, hari ini.
Esok, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka memutuskan sama ada Najib dibenarkan untuk menjalani hukuman penjara di rumah atau kekal di Penjara Kajang.
Hakim, Alice Loke akan membuat keputusan dalam prosiding yang dijadualkan pukul 9 pagi, berhubung permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum.
Ahmad Zahid berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Jadi, jangan pernah mempertikaikan kuasa Tuanku. Baginda mempunyai kebijaksanaan tersendiri dan mengetahui bila masa yang sesuai untuk membuat keputusan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengingatkan orang ramai agar tidak mendesak atau memberi tekanan terhadap institusi diraja, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda.
“Kita hanya boleh berdoa dan berharap. Jangan tekan Yang di-Pertuan Agong. Baginda tahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, sebagai sahabat sejati, beliau akan terus berdiri bersama Najib dan memperjuangkan nasib bekas Perdana Menteri itu tanpa berbelah bahagi.
“Saya akan lakukan perkara ini sehingga ke akhir hayat saya dan saya amat berharap serta akan mendoakan agar beliau (Najib) diberikan pengampunan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










