TASEK GELUGOR : Bertanding dalam pilihan raya dan menjadi wakil rakyat bukan agenda utama bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad ketika ini.
Dzulkifli berkata, beliau tidak akan menawarkan diri untuk berbuat demikian, namun, bersedia membuat pertimbangan sewajarnya andai itu adalah kehendak rakyat setempat.
“Saya serahkan kepada rakyatlah untuk menilai perkara tersebut (bertanding dalam pilihan raya). Sebenarnya, kalau saya ini bermatlamatkan politik, maka, selepas pilihan raya yang lalu, saya tidak akan teruskan (dengan program-program bersama rakyat).
“Tetapi, program yang saya buat berterusan sejak 2022, sebelum pilihan raya dan selepas pilihan raya. Saya berada di sini (Tasek Gelugor) bersama-sama dengan rakyat untuk membantu mereka meringankan beban rakyat itu secara keseluruhannya,” kata beliau.
Dzulkifli ditemui pemberita ketika hadir merasmikan Karnival Sukan Orang Kita anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Buloh dengan kerjasama Pejabat Tan Sri Dzulkifli atau TSDZ, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai khidmat bakti yang diberikan kepada penduduk Tasek Gelugor ketika ini pula, Dzulkifli memberitahu, rata-rata penduduk setempat yang ditemui menghargai sumbangan yang telah beliau berikan menerusi Pejabat TSDZ sejak tiga tahun lalu itu.
“Walaupun sumbangan ini bukanlah besar kerana kita tidak mempunyai dana yang besar, tetapi, ia sekurang-kurangnya dapat membantu mereka (penduduk setempat) yang berada dalam keadaan sukar terutamanya sekarang ini iaitu dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar.
“Jadi, ini (sumbangan yang diberikan) sekurang-kurangnya dapat membantu mereka atau mengeluarkan mereka daripada rasa kesempitan itu sendiri. Itu sahaja,” kata anak jati Pulau Pinang itu.
Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan bahawa Dzulkifli kini telah bersedia untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang selepas tiga tahun berkhidmat kepada penduduk di kawasan sekitar Parlimen Tasek Gelugor sebaik sahaja menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Untuk rekod, Dzulkifli merupakan ahli UMNO yang sah selepas menyerahkan borang keahliannya sebagai ahli parti itu kepada Ketua UMNO Cawangan Merbau Kudong, Mohd. Ramli Daud dalam satu majlis ringkas di Sungai Dua, Butterworth pada 13 Jun yang lalu.-UTUSAN








