ALOR SETAR: Pendekatan kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membenarkan rampasan kuasa berlaku di Perlis boleh ditafsir bahawa parti itu sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, peristiwa berkenaan wajar mendorong Pas untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu.
Katanya, jika Pas kekal tenang dan mengizinkan rampasan kuasa itu berlaku, ia akan memberi gambaran bahawa Pas bukan parti yang mudah bertindak atas emosi.
“Malahan Pas mungkin akan dianggap sebuah parti yang mempunyai tahap kematangan politik luar biasa. Namun, untuk membawa perubahan besar dalam lanskap politik negara, tenang dan matang sahaja tidak mencukupi.
“Pas perlu dilihat sebagai sebuah parti yang penuh iltizam untuk membina harapan dan masa depan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Haim Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, Pas perlu dilihat oleh ahli dan rakyat Malaysia sebagai parti yang berani, tegas dan bersungguh dalam membanteras sistem politik semasa negara yang sarat korupsi, kronisme, nepotisme, penipuan, penindasan, penganiayaan, rasis dan pengkhianatan.
“Atas sebab itu, amat wajar untuk Pas memberi pelajaran bermakna kepada Bersatu. Krisis Perlis adalah peluang terbaik Pas untuk menzahirkan ketegasannya dalam membina budaya politik baru buat negara.
“Pas berpotensi untuk muncul sebagai parti yang meneraju pemulihan politik Malaysia daripada krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli dan parti politik hari ini,” katanya.
Beliau berkata, Pas boleh memainkan peranan penyatuan ahli politik merentasi parti untuk membina Malaysia yang baharu dengan memanggilnya sebagai Perikatan Nasional, Muafakat Nasional, Perpaduan Nasional atau apa sahaja boleh digagaskan.
“Gagasan ini boleh lebih besar dari penyatuan orang Melayu sahaja. Dengan kata lain, ia boleh juga bergerak ke arah penyatuan semua kaum utama di Malaysia.
“Matlamat pembentukan jajaran baharu berteraskan blok parti atau menerusi penghijrahan tokoh-tokoh berkualiti bernaung di bawah payung besar atas agenda bersama iaitu selamatkan Malaysia wajar diusahakan secara serius,” katanya. – UTUSAN










