Bell Ngasri pernah cuba nasib jadi vokalis Exists - Utusan Malaysia

Bell Ngasri pernah cuba nasib jadi vokalis Exists

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 31 tahun lalu, Mohd. Ali Kamarudin atau Mamat melangkah keluar Exists selepas empat tahun bergelar vokalis kumpulan itu. Sebelum dengan rasmi mengumumkan pengundurannya, nasib lima anggota Exists lain ibarat digantung tak bertali.

Along, Musa, Ujang dan Ajai kehairanan apabila Mamat, rakan seperjuangan mereka sejak 1991, secara tiba-tiba menyatakan hasrat mahu pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

Ketika itu, mereka baharu berhijrah ke ibu negara, menetap di sebuah rumah di Selayang. Pemergian Mamat, bak kata Musa, ibarat judul lagu Rabbani, Pergi Tak Kembali.

“Exists ketika itu tidak dapat membuat persembahan kerana selepas Mamat pulang ke kampung, dia terus menghilangkan diri. Puas kami menjejakinya, empat bulan kami cari, dia tetap gagal dihubungi. Keberadaannya tidak kami ketahui.

“Exists ketika itu dalam fasa peralihan, berpindah label. Ada cerita sampai ke telinga kami, kononnya Mamat dibawa label terdahulu pergi ke Singapura, sebelum diterbangkan bercuti ke Bali, Indonesia. Kami jadi buntu, merana sebab show tak ada,” kata Musa.

KUMPULAN EXIST
NOTA
TERBITAN
KOSMO
27 NOVEMBER 2014
KHAMIS
MUKA 24
***archived by MHM

Usaha menjejaki Mamat mendatangkan hasil. Menurut Musa, seorang teman rapat memaklumkan kedatangan Mamat ke Kuala Lumpur selepas beberapa bulan dia menghilangkan diri.

“Kami diberitahu Mamat akan bermain bowling di sekitar Bukit Bintang. Jadi kami berpakat mahu menerjah dia. Akhirnya kami dapat bersemuka dengan Mamat, ajak dia makan nasi ayam di Bukit Bintang.

“Ketika itulah kami minta dia buat keputusan, sama ada mahu kekal bersama Exists, atau sebaliknya. Dia memilih untuk tinggalkan kumpulan atas alasan tidak mendapat kebenaran keluarga.

“Dia kemudian meneruskan karier solonya, kekal bersama syarikat rakaman terdahulu. Sepanjang bersama label berkenaan, dia muncul bersama dua album, namun gagal mendapat sambutan,” ujarnya.

HUTANG PULUHAN RIBU
Ketiadaan vokalis sepanjang beberapa bulan kehilangan Mamat mengakibatkan Exists lumpuh sekali gus hilang pendapatan.

“Setiap seorang daripada kami terpaksa bergantung kepada wang pendahuluan berjumlah RM800 yang diberikan syarikat rakaman BMG secara bulanan. Keadaan itu mengakibatkan kami berhutang dengan label sehingga puluhan ribu.

“Dengan wang itulah kami guna untuk sara hidup, bayar sewa rumah dan sebagainya selama beberapa bulan.

“Ketiadaan tawaran membuat persembahan membuatkan hidup kami bertambah sukar. Kalau bukan kerana kesabaran dan semangat, sudah lama kami berhenti,” kongsinya.

MAKAN CACIAN
Exists segera mencari vokalis baharu selepas Mamat dengan rasminya meninggalkan kumpulan itu.

“Ramai yang datang uji bakat termasuk pelakon dan pelawak. Antaranya Bell Ngasri dan Azrul Raja Lawak.

Antara semua calon, Ezad Lazim ada vokal yang kami mahukan. Yang kacak, ramai. Yang berbakat, Ezadlah penyanyinya,” kongsi Musa.

Katanya, Exists pada fasa tersebut, puas dikecam peminat gara-gara pertukaran vokalis mereka.

“Kalau dulu, reaksi peminat kami tengok menerusi surat mereka. Memang jelas peminat marah apabila Ezad ambil alih tempat Mamat.

“Kami terima cacian dan makian, ada peminat yang mengugut mahu berpaling arah kerana sangka mereka kami buang Mamat. Hairan sungguh, bila pula kami buang Mamat?

“Tapi, kami sebenarnya pernah hadap situasi yang sama ketika Shah meninggalkan Exists pada tahun 1992. Peminat mengamuk dan menyatakan kesediaan untuk berhenti memberikan sokongan sekiranya Shah tidak kembali bersama Exists,” kongsinya.

KONFLIK DALAMAN
Exists membawa haluan baharu selepas kontrak mereka bersama NAR Records tamat pada 2007.

Beberapa syarikat rakaman menyatakan kesediaan untuk menaungi kumpulan itu namun tidak satu pun dapat menandingi tawaran yang diberikan syarikat rakaman EMI Music Malaysia.

“Kami pilih EMI selepas menilai semua tawaran yang kami terima. Selepas berunding, semua ahli Existss sepakat, termasuk Ezad yang memberitahu dia menyokong keputusan sebulat suara.

“Namun, sungguh menghairankan apabila Ezad tidak munculkan diri pada sesi menandatangani kontrak bersama EMI. Kami cuba menelefon dia, hantar sistem pesanan ringkas (SMS) namun gagal. Kerana itu kami tangguhkan sesi tersebut.

“Tidak lama selepas itu, kami berjaya hubungi Ezad. Dia cadangkan kami tidak terburu-buru membuat keputusan, berbincang dahulu dengan pihak NAR Records kerana katanya label itu turut menaungi Exists.

“Kami ikut saranan Ezad untuk berjumpa wakil NAR Records iaitu Rosmin. Namun mereka juga mengakui tidak mampu menandingi tawaran yang diberikan EMI kepada Exists.

“Tapi, paling mengejutkan adalah apabila Rosmin mendedahkan Ezad antara artis yang telah pun mengikat kontrak bersama mereka. Kami benar-benar tidak menyangka kerana Ezad masih vokalis kami. Ketika itulah kami terpaksa melepaskan Ezad dan mengambil Joey Daud untuk menggantikan tempatnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN