ALOR SETAR: Golongan belia perlu kekal aktif dan sihat bukan sahaja dari sudut jasmani serta mental, malah membawa idealisme yang progresif serta relevan dengan keperluan semasa negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pembangunan golongan itu perlu dibangunkan secara menyeluruh merangkumi kekuatan fizikal dan ketajaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Katanya, usaha mempersiapkan belia tidak boleh terhad kepada rutin kehidupan harian semata-mata, sebaliknya perlu menjurus kepada pembinaan keupayaan menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai pemimpin.
“Kita mahu persiapkan anak muda bukan hanya menjalani kehidupan sehari-hari tetapi yang lebih penting adalah belia yang boleh dan mampu menggalas tanggungjawab lebih besar di masa akan datang.
“Ini kerana pemimpin datang dan pergi tetapi anak muda tidak terhenti di sini ia berterusan dan perlu diisi dengan pelbagai program membina sahsiah jati diri mereka,” katanya setelah melepaskan peserta larian sempena Hari Aspirasi Belia Negeri Kedah 2025, malam tadi.
Ujar beliau, program anjuran Gerakan Belia 4B Negeri Kedah itu antara platform penting untuk belia menyuarakan pandangan, idea serta inspirasi secara langsung.
Katanya, penglibatan aktif persatuan belia di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar memberi impak kepada generasi muda selaku aset masa depan negara. – UTUSAN










