PETALING JAYA: Bekas Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Dr. Syaikh Ismail Muhammad, meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 81 tahun.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam kenyataan berkata, berita pemergian tokoh itu dimaklumkan melalui hantaran Facebook mereka sekitar pukul 3 pagi.
“Dimaklumkan bahawa Tuan Guru kita semua Tan Sri Dr. Syaikh Ismail Muhammad, mantan Imam Besar Masjid Negara, Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Selangor, Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi Akademi Literasi Al Quran Selangor baru sahaja kembali menghadap Allah SWT.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan urusan mandi serta kafan akan dilakukan selepas solat Subuh manakala solat jenazah akan dilakukan sekitar jam 9 pagi,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya.
Media sebelum ini melaporkan, Allahyarham telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2021/1443 Hijrah.
Beliau merupakan Imam Besar Masjid Negara yang paling lama berkhidmat, iaitu selama 12 tahun sejak 2007 hingga 2019, serta pernah menjadi hakim Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. – UTUSAN










