Bapa tiga anak didakwa sebabkan siak cedera parah

Bapa tiga anak didakwa sebabkan siak cedera parah

KAMARULZAMAN Kamarudin (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang siak surau minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang siak surau minggu lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Kamarudin, 55, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Noor Sakinah Haroon Arashid.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Normuda Mod Noor, 68, dengan menggunakan sebilah parang di sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini pada pukul 2.30 petang, 10 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhamad Lutfi mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan. Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad memohon jaminan ringan.

Ia atas alasan tertuduh yang telah bercerai itu bekerja sendiri dengan pendapatan harian sebanyak RM50 selain tertuduh juga pernah mendapat rawatan psikiatri dan memohon untuk dirujuk ke hospital sementara menunggu tarikh sebutan akan datang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN