KUALA LUMPUR: Tiga orang rakyat Malaysia yang sebelum ini terputus hubungan akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Aceh, Indonesia berjaya diselamatkan dan telah diterbangkan ke Medan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan itu diterima daripada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek.
Katanya, tiga rakyat Malaysia terbabit ialah Lai Kah Keong, 65; Mohd. Azmi Shafiee, 63, dan Zulkarnaen Abdullah, 69.
“Mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan terputus hubungan dan telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Domestik Rembele, Takengon ke Medan menggunakan pesawat Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara.
“Mereka tiba di Kualanamu pada pukul 5 pagi hari ini. Konsulat sedang mengatur penerbangan pulang ke tanah air secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, seorang lagi rakyat Malaysia, Masithah Ja’far, 64, masih belum dapat dihubungi.
Dalam kejadian berasingan, pencarian seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan di Padang Panjang, Sumatera Barat, memasuki hari ketujuh dan masih belum menemui petunjuk.
“Pencarian kini difokuskan di kawasan tebing sungai serta runtuhan berhampiran Jambatan Kembar.
“Ibu bapa mangsa kini berada di RS Bhayangkara Padang bagi proses asid deoksiribonukleik (DNA) dan pengecaman sekiranya mangsa ditemui,” katanya.
Mohamad berkata, bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu masih berada pada tahap kritikal dengan operasi mencari dan menyelamat serta pemulihan infrastruktur diteruskan.
“Laluan darat yang terputus mula dibuka semula khususnya di Aceh Tamiang dan kawasan pedalaman membolehkan penghantaran makanan, perubatan dan bantuan asas dijalankan secara lebih teratur
“Kementerian Pekerjaan Umum Indonesia menyasarkan semua laluan utama yang rosak dapat dipulihkan selewat-lewatnya 16 Disember bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat serta penilaian kerosakan,” katanya.
Setakat ini, Mohamad berkata, lebih 753 mangsa disahkan terkorban manakala lebih 650 masih hilang di tiga wilayah terjejas.
Angka itu dijangka meningkat memandangkan masih banyak lokasi belum dapat diakses pasukan penyelamat. – UTUSAN









