PUTRAJAYA: Banduan yang terlibat dalam kesalahan jenayah kolar putih dan berpotensi menyambung pengajian ke peringkat universiti akan ditempatkan di Penjara Bentong, Pahang sebagai sebahagian usaha memberi peluang kedua kepada mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sentiasa bersedia membantu banduan yang menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan pelajaran, selagi terdapat ruang dan kelayakan yang jelas.
Menurut beliau, ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, terdapat tiga banduan mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD), 12 calon ijazah sarjana, 137 calon ijazah sarjana muda, 300 calon diploma serta ratusan lagi dalam pelbagai program pendidikan.
“Saya tidak pernah menjadikan kesalahan lampau sebagai kayu ukur untuk menolak permohonan menyambung pelajaran. Jika ada ruang, kita bantu mereka agar dapat masuk ke universiti,” katanya pada forum Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam sempena program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ahmad Zahid berkongsikan perkara itu bagi menjawab soalan dikemukakan audien mengenai masa depan pesalah terutama penuntut universiti yang ingin melanjutkan pelajaran jika berada di penjara.
Ahmad Zahid turut memaklumkan, sekiranya terdapat keraguan terhadap kelayakan mana-mana banduan, pihak berkaitan diminta melakukan penilaian lebih terperinci sebelum keputusan dibuat.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga boleh mengesahkan mengenai cadangan penempatan khas di Penjara Bentong itu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak pernah membeza-bezakan pembangunan mana-mana wilayah atau negeri berdasarkan sentimen politik, sebaliknya melaksanakan pembangunan secara adil dan berpaksikan keperluan rakyat.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah memetakan dasar fiskal negara berdasarkan geografi politik.
“Kita lihat peruntukan yang tinggi kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, termasuk negeri pembangkang. Kerajaan tidak menjadikan perbezaan politik sebagai alasan untuk bertindak secara tidak adil,” katanya. – UTUSAN










