KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) memutuskan untuk merehatkan Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali berkuat kuasa serta-merta.
TFCSB dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan keputusan tersebut, Tengku Hazman Raja Hassan selaku Penolong Jurulatih dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim TFC sehingga pengumuman ketua jurulatih baharu secara rasmi dibuat.
“TFCSB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Badrul Afzan atas segala komitmen, sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang bersama pasukan,” katanya.
Badrul Afzan yang juga bekas pemain skuad Peteh Ganu Peteh sebelum ini menggantikan Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan pada 1 Oktober tahun lalu.
Anak kelahiran Kemaman berusia 49 tahun itu menandatangani kontrak sebagai peneraju pasukan bermula 1 Julai hingga 31 Mei 2026.
Terdahulu, Badrul Afzan diberi peluang oleh majikannya hanya tiga perlawanan sehingga pertemuan dengan Negeri Sembilan FC pada 22 November lalu sebelum tindakan drastik diambil susulan prestasi pasukan tidak konsisten.
Beliau kemudian diberi ‘talian hayat’ sehingga berakhir pusingan pertama Liga Super, Selasa lalu sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Namun, dalam aksi terakhir pusingan pertama liga itu, TFC tumpas 1-3 di gelanggang sendiri. – UTUSAN










