BAGAN DATUK: Pekebun Kampung Tebuk Buluh di Sungai Nipah dekat sini terpaksa mengupah pekerja untuk mengangkut buah kelapa tua menggunakan sampan dalam banjir termenung yang berlarutan lebih sebulan.
Seorang pekebun kelapa, Mohd. Sofian Zulkili, 32, berkata, kawasan kebun kelapa yang masih mengalami banjir termenung di kampungnya seluas lebih 24 hektar.
Menurutnya, buah kelapa yang lama terendam dalam air akan membusuk dan tidak boleh dijual atau diproses untuk santan atau minyak masak jika tidak dialihkan.
“Dalam keadaan biasa, buah kelapa diangkut menggunakan traktor dari dalam kebun namun disebabkan banjir, saya tiada pilihan lain selain mengutip kelapa dan diangkut menggunakan sampan. Buah yang terendam dalam air dimasukkan ke dalam sampan.
“Sampan yang sarat dengan kelapa ditarik menggunakan tenaga manusia sejauh 400 meter dari dalam kebun ke kawasan yang kering sebelum dimuatkan ke dalam traktor dan dihantar ke kilang memproses.
“Biasanya kerja mengambil mengangkut kelapa menggunakan sampan bermula dari pagi hingga ke petang. Sekali tarik dapat kira-kira 100 biji dimuatkan dalam sampan. Kalau terlalu berat, sukar untuk ditarik menggunakan tenaga manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai banjir termenung yang sudah sebulan, Mohd. Sofian mendakwa masalah itu disebabkan parit utama tidak dikorek pada kedalaman mencukupi di samping rumput, sampah, ranting kayu dan batang kelapa tumbang dalam saliran itu menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar ke kunci air berdekatan.
“Saya percaya banjir di sini bukan kerana paras air laut tinggi tetapi puncanya air lambat mengalir keluar di kunci air kerana parit utama tidak dikorek dalam, selain membuatkan air tidak boleh mengalir dengan cepat.
“Parit-parit di dalam kebun tidak menjadi masalah kerana walaupun dipenuhi semak, sampah, batang kelapa dan batang pisang dan air tetap akan mengalir keluar jika parit utama didalamkan dengan sempurna,” katanya.-UTUSAN










