Amaran waspada hujan berterusan di Semenanjung, Sarawak hingga 16 Dis.

Amaran waspada hujan berterusan di Semenanjung, Sarawak hingga 16 Dis.

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di peringkat waspada, di beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak sehingga 16 Disember ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan yang diramal terjejas melibatkan beberapa daerah di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Katanya, cuaca sama dijangka melanda Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.

“Keadaan sama turut diramal berlaku di seluruh Terengganu dan beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Johor turut menerima amaran sama melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, dan Kota Tinggi,” katanya.

Menurut MetMalaysia, amaran waspada itu dikeluarkan apabila hujan berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan yang kurang daripada 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.

Katanya, keadaan itu juga berkemungkinan menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora sehingga 18 Disember ini melibatkan beberapa kawasan dengan beberapa kategori.

Kategori pertama melibatkan kawasan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Tenggara Samui, Tioman, Selatan Bunguran, Reef South dan Barat Palawan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/h) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Kategori kedua pula melibatkan Barat Condore, Utara Bunguran, Timur Reef North dan Layang-layang dengan kelajuan angin boleh mencapai 60km/h dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter,” katanya.

Bagi kategori ketiga, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan kawasan Timur Condore dan Barat Reef North yang dijangka berlakunya angin kencang melebihi 60km/h dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN