Aliakbar mungkin akan terus sokong Hajiji

Aliakbar mungkin akan terus sokong Hajiji

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai berkemungkinan akan terus menyokong kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak menolak perkara itu memandangkan Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik oleh kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

“Saya belum tahu lagi (tapi) sebelum ini dia dalam kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga. (Yang) kemudian ini tak tahu mungkin ada lah (bersama kerajaan Sabah),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Ladang Antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (KLPK) di Wisma PKNK.

Pertembungan 11 penjuru di Karambunai menyaksikan Aliakbar yang bertanding atas tiket PN meraih 7,054 undi sekali gus menang dengan majoriti 365 undi mengatasi Warisan (6,689), GRS (4,818) dan Barisan Nasional (4,475).

Mengulas kemenangan berkenaan, Muhammad Sanusi berkata, meskipun sentimen PRN Sabah berkisar tentang parti tempatan, kemenangan diraih PN menandakan kehadiran gabungan itu dan Pas mula diterima rakyat Sabah.

“Kita kemuka calon yang terbaik untuk Sabah dan saya tengok ada peningkatan undi yang diperolehi, walaupun persaingan itu banyak penjuru.

“Dulu dia (Aliakbar) ADUN dilantik, mungkin dia sudah terbiasa dengan orang-orang di situ lah. Saya ucap tahniah kepada beliau dan juga para pengundi di Sabah, akan ada suara PN di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN