PUTRAJAYA: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika jemaah menteri bersidang pada 28 November lalu.
“Kerajaan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ewon yang juga Presiden UPKO, mengumumkan meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan dengan alasan terdapat perbezaan asas dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri.
Ewon dilaporkan berkata, pendirian AGC seperti yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mengabaikan asas sejarah pembentukan Malaysia serta dokumen perlembagaan yang menjamin hak Sabah.
Susulan itu, jelas beliau, adalah tidak konsisten untuk beliau kekal dalam Kabinet sementara AGC mengekalkan pendirian yang bercanggah dengan prinsip yang diperjuangkannya sebagai Presiden UPKO. – UTUSAN










