Ahli Parlimen Padang Serai dakwa penahanan beliau ada kaitan politik

Ahli Parlimen Padang Serai dakwa penahanan beliau ada kaitan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mendakwa pertuduhan berkaitan rasuah yang bakal dikenakan terhadapnya pada Isnin ini, disebabkan mahu mencemarkan imej wakil rak­yat Perikatan Nasional (PN).

Bekas Exco Kerajaan Kedah itu berkata, beliau pada 25 Mac lalu sudah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah untuk membantu siasatan berkaitan projek fidlot di bawah Kedah Agro.

Azman berkata, beliau ketika itu hanya diminta hadir untuk memberikan keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan, sebelum dihubungi semula penyiasat SPRM semalam untuk ke Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Saya berjumpa dengan pegawai-pegawai SPRM di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh. Saya tanya apakah masalah yang sedang berlaku dan cuma dimaklumkan mereka terima arahan untuk bawa saya ke SPRM Kuala Lumpur, sebab hari itu (25 Mac) saya hadir sebagai saksi bantu siasatan dan kali ini mereka akan tukar kepada tuduhan untuk didakwa.

“Dalam masa sekejap sahaja, saya daripada sebagai saksi untuk siasatan terus akan didakwa. Jadi saya melihat ini kemungkinan ada unsur-unsur pengaruh politik yang cuba untuk mencemarkan imej saya sebagai Ahli Parlimen PN,” katanya dalam video di media sosialnya, semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan SPRM Kedah menahan seorang Ahli Parlimen PN petang semalam, bagi tujuan siasatan kes melibatkan usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri.

Menurut sumber, siasatan terhadap kes itu telah dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.

Tambah Azman, beliau bersedia untuk menghadapi pendakwaan di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 atas tuduhan meminta dan menerima suapan yang dijadualkan pada 8 Disember ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Katanya, selain beliau dua lagi individu akan dikenakan pertuduhan di bawah akta sama berkaitan kes membabitkan projek fidlot tersebut.

“Di media sosial dimainkan seolah-olah hanya saya seorang saja yang akan dituduh tapi saya dimaklumkan oleh pegawai SPRM semalam bahawa akan ada dua orang lagi akan dituduh bersama,” katanya.

Sementara itu, Azman menyatakan pendakwaan terhadapnya dipercayai ada kaitan dengan kemungkinan ulasan dibuatnya di TikTok mengenai jawapan Perdana Menteri berkaitan soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah tentang Setiausaha Politiknya yang kononnya ditohmah menerima rasuah.

“Selepas beberapa hari saya pula didakwa, jadi saya lihat ini seolah-olah seperti pendakwaan terpilih yang mana-mana pihak yang dilihat vokal melawan isu rasuah akan dikenakan tindakan dan akan didakwa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN