PETALING JAYA: Agrobank memperkenalkan kemudahan pembiayaan baharu di bawah dana Bank Negara Malaysia (BNM), Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya komuniti tani, yang terjejas akibat banjir dalam usaha memulihkan operasi perniagaan mereka.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, inisiatif itu dirangka bagi memastikan usahawan yang terjejas dapat menerima bantuan kewangan dengan segera.
“Agrobank amat prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi usahawan terutamanya komuniti tani yang terjejas akibat banjir.
“Melalui kemudahan ini, kami memastikan bantuan kewangan dapat diakses segera bagi meringankan beban mereka serta menyokong usaha pemulihan dan ketahanan perniagaan,” katanya.
Selain itu, RAFt menyediakan pembiayaan untuk membaik pulih aset dan modal kerja yang terjejas, selain menawarkan pembiayaan adaptasi bagi membantu usahawan membuat pelaburan bagi mengurangkan risiko serta kerugian akibat banjir.
Syarikat itu yang ditubuhkan pada 1969, merupakan institusi kewangan pembangunan (IKP) yang memfokuskan pembiayaan sektor pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI).
Bank itu menawarkan rangkaian produk kewangan syariah merentasi seluruh rantaian nilai pertanian daripada aktiviti huluan seperti bekalan input pertanian hinggalah pemprosesan, pemasaran dan jualan produk.
Sementara itu, PKS di kawasan dikenal pasti dan disahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) layak memohon pembiayaan sehingga RM2 juta dengan kadar keuntungan antara 3.0 hingga 3.5 peratus setahun serta tempoh pembayaran sehingga tujuh tahun.
Kemudahan itu turut menawarkan moratorium enam bulan bagi memberi ruang kepada usahawan memulihkan perniagaan mereka. – UTUSAN










