PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Emma Suhaimi mendedahkan kakaknya iaitu penyanyi Adira Suhaimi sebelum ini tegas menolak cinta bekas suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red yang didakwa masih menyimpan perasaan terhadap bekas isteri keduanya itu.
Malah dakwa Emma, Adnan yang masih menaruh harapan untuk merujuk semula, melakukan pelbagai cara, termasuk memaksa Adira untuk menerima semula cintanya.
“Dia paksa dengan macam-macam cara sampai cara yang paling tidak selesa. Ami (Adira) sudah hendak move on, tapi dia tak terima. Ami sudah jumpa jalan keluar dan bawa haluan sendiri, Adenan pula ke mahkamah. Keluarga terkejut dan tidak setuju dengan hal ini,” tulisnya di Instastory.
Datuk Red baru-baru ini hangat diperkatakan selepas timbul dakwaan yang dia telah memfailkan pengesahan rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat Rabu lalu tanpa pengetahuan Adira yang hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguam.
Emma dalam kenyataan sama memaklumkan dia dan keluarga tidak pernah bersetuju malah dengan tegas menolak kakaknya kembali bergelar isteri kepada usahawan tersebut.
“Kami sekeluarga nak dia orang ada hidup baharu. Doa yang terbaik buat keduanya. Ami layak bahagia, Adenan pun layak bahagia. Tapi untuk biarkan adik kami di tempat yang sama dengan drama yang tak henti, masalah yang tiada penghujung.
“Mak kata, tak apa Adira teruskan lawan. Kami sekeluarga kali ini memilih untuk bersuara. Cukup hampir 10 tahun lalui hal yang sama,” kongsinya.
Adira sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red pada 2015 dengan perkahwinan yang diadakan di Songkhla, Thailand. Namun perkahwinan mereka tidak berkekalan apabila keduanya sah bercerai talak satu April tahun lepas. – UTUSAN










