PETALING JAYA: Seramai 600 pembantu warden asrama dalam kalangan MySTEP akan dilantik bermula tahun depan khususnya bagi membantu pemantauan pada waktu malam, seterusnya memperkukuh aspek pengawasan keselamatan murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu memberi sokongan tambahan kepada pihak sekolah dalam mengurus keselamatan murid.
Katanya, ia sebahagian langkah komprehensif Kementerian Pendidikan membanteras salah laku buli secara tegas serta berterusan demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.
“Bagi menjamin keselamatan murid, KPM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS) mengadakan lawatan sekurang-kurangnya dua minggu sekali ke sekolah.
“PPS turut menyemak aduan yang diterima melalui peti aduan murid bagi memastikan saluran komunikasi yang berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai kesan peningkatan buli di sekolah serta langkah jangka pendek dan panjang yang diambil KPM dalam menangani isu itu.
Fadhlina berkata, kementerian juga akan melaksanakan Reformasi Segera (IR) terhadap sistem dan mekanisme sedia ada merangkumi pemerkasaan sekolah selamat serta program pendidikan yang sedang dilaksanakan.
Katanya, inisiatif itu dilaksana merentasi kementerian termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Usaha itu digerakkan secara intensif dan berterusan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan pelaksanaannya praktikal dan efisien di semua 10,245 sekolah seluruh negara.
“Kementerian akan memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan ini secara sistematik bagi mendapatkan pandangan dan input,” katanya.
Beliau berkata, lima fokus utama kerangka IR merangkumi kesihatan mental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial bagi menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak serta pencegahan bahan terlarang, polisi perlindungan murid (CPP), kebajikan guru dan suara murid.
“Kerangka ini menekankan pendekatan holistik yang bukan sahaja melibatkan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, agensi kerajaan dan komuniti.
“KPM komited mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, inklusif dan sejahtera untuk semua warga sekolah.Setiap anak berhak berada dalam ekosistem sekolah yang terjamin, selamat dan harmoni supaya mereka mendapat pengalaman pembelajaran yang berkualiti,” katanya. – UTUSAN










