4umusic: Runtuhkan ego demi pendengar - Utusan Malaysia

4umusic: Runtuhkan ego demi pendengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sebagai pemuzik jalanan di Terengganu, siapa sangka empat anak muda ini kini semakin mendapat tempat dalam radar industri muzik tempatan.

Dikenali sebagai 4umusic, kumpulan yang ditubuhkan pada 2023 dan dianggotai oleh Akim (Bass), Aiman (Gitar), Payeh (drum) dan Juna (vokalis) ini perlahan-lahan membina nama melalui persembahan pentas, jemputan korporat dan keaktifan di media sosial.

Menurut Juna mewakili band, 4umusic pada asalnya hanya sebuah kumpulan busker yang aktif bermain muzik di kawasan awam seperti jalanan dan pusat beli-belah, selain memanfaatkan platform TikTok untuk berkongsi persembahan.

“Kami bermula sebagai street busker. Waktu itu kami hanya bermain muzik di kawasan awam dan aktif di TikTok. Lama-kelamaan kami mula dijemput bermain di pentas, majlis makan malam dan acara korporat,” katanya.

Selepas semakin kerap menerima undangan persembahan, mereka mengambil keputusan untuk menjenamakan semula kumpulan kepada 4umusic, atau Four You Music.

“Empat itu melambangkan persahabatan kami setelah bertahun bersama bermain muzik. Bagi kami, 4umusic melambangkan kami, sahabat dan muzik. Ia menjadi satu semangat dan cabaran yang kami tempuh demi menghasilkan serta mempersembahkan muzik,” jelas Juna.

Pop sebagai Teras
Dari segi muzik, 4umusic menjadikan pop sebagai asas utama, namun mereka tidak menolak kepelbagaian elemen mengikut kesesuaian mood dan lirik.

“Genre kami berasaskan pop dengan lagu Tulip menjadi tanda pengenalan kami kepada semua pendengar.

“Tetapi kami akan mempelbagaikan muzik dengan elemen-elemen lain. Identiti kami masih belum benar-benar jelas kerana kami mempunyai banyak lagu dengan mood dan gaya berbeza yang belum dilepaskan,” ujar mereka.

Pengaruh muzik mereka banyak dibentuk oleh band terkenal Indonesia dan tempatan seperti Nidji dan Sheila On 7.

“Bagi kami, muzik mereka jelas dan sampai kepada kami. Selain itu, setiap ahli mempunyai cita rasa berbeza dan kami mix semuanya dalam band ini, lalu terjadilah 4umusic itu sendiri,” kata mereka.

Cabaran dan Harapan
Sebagai kumpulan baharu, 4umusic mengakui cabaran untuk menembusi pasaran tempatan bukanlah mudah.

Mereka perlu menyesuaikan diri dengan citarasa pendengar masa kini, di samping mempelajari selok-belok industri.

“Kami perlu meruntuhkan ego tentang muzik yang kami mahu, demi mencuri hati pendengar.

“Selain itu, kami masih belajar bagaimana karya kami harus disampaikan kepada pendengar dan cara melemparkannya ke dalam industri,” jelas mereka.

Kekangan masa, kewangan dan idea juga menjadi cabaran utama yang perlu dihadapi.

Namun, mereka mengakui kemajuan teknologi memberi kelebihan kepada band indie hari ini.

“Dengan hanya menggunakan telefon pintar sahaja sudah cukup untuk mempromosikan karya kami. Cuma cabarannya, terlalu ramai artis dan selebriti baharu menjadi pesaing,” kata Juna.

Dalam masa sama, mereka berharap suatu hari nanti band ini berpeluang bekerjasama dengan label dan pasukan industri muzik arus perdana tanah air.

Muzik: Seni atau Hiburan Pantas?
Dalam pada itu, mengulas tentang penerimaan generasi muda terhadap muzik, 4umusic berpandangan bahawa artis era 90-an dan awal 2000-an lebih bertuah kerana karya mereka masih kekal relevan sehingga kini.

“Band seperti Hujan, Bunkface serta kumpulan rock seperti Wings dan Search masih menjadi playlist kegemaran generasi muda.

“Sekarang ramai artis lebih fokus kepada single release berbanding album kerana pasaran sangat mencabar dan masyarakat lebih tertumpu kepada populariti artis berbanding menghayati kelahiran artis baharu,” katanya.

Walaupun mengakui faktor rupa paras dan jumlah pengikut di media sosial semakin menjadi ukuran, 4umusic tetap optimis untuk meneruskan perjuangan sendiri.

“Kami akan teruskan perjuangan kami sendiri dan percaya bahawa muzik yang jujur akan tetap menemukan pendengarnya,” ujar Juna mengakhiri bicara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN