PETALING JAYA: Meskipun sering menyanyikan lagu ciptaan komposer, Hael Husaini, penyanyi, Nadeera Zaini, 32, memaklumkan yang dirinya tidak pernah menolak untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer lain.
Malah kata Nadeera, dia terbuka dan sering mengintai peluang untuk bekerjasama dengan komposer lain.
“Contoh, baru-baru ini, komposer, Ajai ada menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai sebuah lagu untuk saya.
“Insya-Allah, nantikan. Lagu itu bakal diperdengarkan sekitar tahun depan,” kongsinya.
Nadeera tidak menafikan yang dia cukup teliti dalam membuat pemilihan lagu yang benar-benar sesuai dengan nyanyiannya. Ini kerana penyanyi yang meledak dengan lagu Bukan Lagi Kita ini amat mementingkan kualiti lagu dibawakan.
“Ramai peminat bertanya tentang lagu baharu. Saya harap mereka sabar menunggu, tidak lama lagi insya-Allah.
“Proses keluarkan lagu baharu ini ambil masa. Saya kalau boleh mahukan lagu berkualiti, bukan yang tangkap muat atau asal buat.
“Insya-Allah, tahun depan ada buah tangan untuk peminat. Cuma buat masa ini saya menunggu masa sesuai untuk muncul dengan single baharu,” jelasnya.
Nadeera juga memberitahu mengenai keinginannya untuk bekerjasama dengan komposer luar negara lebih-lebih lagi dari Indonesia.
“Memang saya ada terfikir untuk tembusi pasaran Indonesia. Manalah tahu, kemungkinan rezeki untuk bekerjasama dengan komposer dari sana, ada.
“Saya pun sedang mengintai peluang. Insya-Allah, kita tengok macam mana keadaannya nanti,” jelasnya. – UTUSAN










