KUALA LUMPUR: Seramai 1,058 orang daripada pelbagai lapisan umur memeriahkan acara Batik Fun Run 2025 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Datuk Leela Mohd. Ali berkata, acara tersebut dianjurkan sejak 2003 dengan memberi suntikan terhadap batik Malaysia bagi memupuk minat rakyat terhadap seni tekstil tradisional itu.
Katanya, Penyayang memilih acara berjalan kaki kerana ia boleh disertai oleh pelbagai lapisan umur termasuk warga emas.
“Kami mahu suntik elemen yang seronok bagi meningkatkan minat dalam kalangan masyarakat termasuk golongan muda. Di acara ini, kita boleh lihat kekreatifan setiap peserta dalam menggayakan batik dan keunikan seni tekstil tradisional itu sendiri.
“Melalui Batik Fun Run juga kita boleh pastikan bahawa orang faham yang batik bukan hanya untuk ‘makcik’ atau ‘pakcik’ sahaja dan bukan untuk majlis formal semata-mata tetapi boleh pakai di mana sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Penyayang mahu menyemai perasaan cinta kepada batik terhadap masyarakat dan memastikan ia tidak akan pernah dilupakan, sebaliknya terus menjadi kebanggaan.
“Kita juga mahu lahirkan pereka-pereka batik muda dan memastikan seni tekstil tradisional itu terus maju ke hadapan,” katanya.
Batik Fun Walk 2025 merupakan penganjuran kali ke-20 oleh Penyayang dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik speerti kuiz, permainan, cabutan bertuah dan cabaran kecergasan.
Kutipan yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Penyayang Pesakit Kanser (PPK) yang menjalankan program sukarelawan dan sokongan untuk para pesakit kanser serta keluarga mereka.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penglibatan peserta dalam Batik Fun Walk 2025 sangat memberansangkan sekali gus membantu mencapai antara objektif acara itu iaitu mempromosikan batik Malaysia.
“Ini adalah satu usaha daripada Penyayang untuk mempromosikan batik sebagai satu budaya atau seni warisan Malaysia. Kita sangat berterima kasih kerana dapat penglibatan dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Daripada yang sangat-sangat kecil, ada juga yang bawa bayi mereka sehinggalah penglibatan dari warga emas. Jadi tahniah kepada Penyayang kerana sekali lagi berjaya menganjurkan Batik Fun Walk kali ke-20,” katanya.-UTUSAN










