SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merekodkan sebanyak 1,032 kes kesalahan tiada tanda harga di seluruh negeri ini dengan kompaun hampir RM300,000 sepanjang tahun ini.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya melancarkan program PATUH di peringkat negeri ini yang memberi tumpuan kepada penandaan harga jelas, penggunaan alat timbang disahkan serta persekitaran perniagaan yang bersih dan teratur.
“Yang paling asas ialah tanda harga yang jelas dan telus. Semua barang mesti dipamerkan dengan harga terkini. Begitu juga alat timbang, ia mesti disahkan KPDN,” katanya selepas melancarkan Program PATUH, di Pasar Awam Dengkil, Sepang, hari ini.
Mohd Zuhairi berkata, program itu bukan sekadar kempen kesedaran, sebaliknya struktur pematuhan menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang serta menggalakkan persaingan sihat di antara peniaga.
Beliau menegaskan, peniaga boleh dikenakan denda jika gagal mematuhi arahan selepas ditegur pada peringkat awal dan boleh dibawa ke mahkamah jika masih lagi gagal patuhi.
Selain itu, inisiatif Zon Persinggahan PATUH (ZPP) turut diperkenalkan di tujuh R&R PLUS di Selangor sebagai platform pendidikan pengguna dan model amalan perniagaan berintegriti. – UTUSAN










