JASIN: MIC berhak menentukan hala tuju politik mereka sendiri, termasuk hasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO menghormati sepenuhnya keputusan MIC yang sedang mempertimbangkan perkara itu, namun menegaskan hubungan akrab antara komponen selama ini wajar dipertimbangkan sebelum keputusan muktamad dibuat.
“MIC umum nak tarik diri, nak masuk Perikatan Nasional (PN), kita tak paksa, anda boleh pergi, itu hak mereka.
“Tapi kalau mereka rasa masih sesuai kekal bersama kita, pintu sentiasa terbuka,” katanya ketika ditemui hari ini.
Muhamad Akmal merasmikan Sambutan Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin yang berlangsung di ladang jagung seluas 28 hektar diusahakan Koperasi Komong Jasin Berhad melalui kaedah ladang kontrak.
Ahad lalu, perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti dalam BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79.
Bagaimanapun, perwakilan menyerahkan kepada kepemimpinan MIC termasuk Presiden, Tan Sri S.A. Vigneswaran untuk memutuskan sama ada parti akan berbuat demikian dan membentuk jajaran baharu bersama PN pada masa yang sesuai.
Muhamad Akmal berkata, UMNO sentiasa melihat MIC sebagai sebahagian keluarga besar BN dan berharap perbincangan dalaman dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya, demi menjaga kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
“Kita dengan MIC ini hubungannya baik. Kalau gaduh pun, gaduh-gaduh sayang. Jadi saya berharap MIC dapat berbincang dengan baik. Tapi kalau akhirnya tetap mahu keluar, saya ucapkan terima kasih. Kalau terus kekal, alhamdulillah,” katanya. – UTUSAN










