BUTTERWORTH : Seorang lelaki warga emas cedera selepas nyaris terperangkap dalam satu kebakaran melibatkan dua unit rumah setinggan di kampung Benggali di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota bomba ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
“Kedua-dua rumah setinggan Kelas B yang berkeluasan 20×40 kaki persegi itu dianggarkan terbakar sehingga 90 peratus dan api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 10.35 malam.
“Mangsa yang berusia 71 tahun itu pula dikatakan melecur pada bahagian muka, tangan serta kaki dan segera diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya yang memberitahu, operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 11.53 malam tadi.
Difahamkan, jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.-UTUSAN










