PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan seorang wanita Filipina berusia 50-an, kerana disyaki menyalahgunakan pas untuk tinggal di Malaysia dan menjadi presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Wanita berkenaan ditahan ketika sedang berkumpul bersama beberapa rakan senegara di sebuah sekolah antarabangsa di sini, semalam.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, wanita terbabit masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) kira-kira dua dekad lalu dan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kategori pembantu rumah untuk terus tinggal di Malaysia.
Katanya, pas itu hanya membenarkan warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di alamat majikan yang didaftarkan mengikut syarat Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Pada tahun ini, kami menerima maklumat bahawa warga asing berkenaan dilantik sebagai presiden sebuah NGO dan melakukan aktiviti yang boleh dianggap sebagai pekerjaan atau pemimpin badan formal.
“Semakan juga mendapati NGO terbabit tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, hasil risikan mendapati wanita itu menghadiri mesyuarat rasmi, menguruskan kutipan dana, mengetuai program luar dan mengeluarkan kenyataan umum sebagai presiden NGO terbabit.
Katanya, aktiviti berkenaan dianggap suatu bentuk pekerjaan atau penyertaan organisasi tanpa kebenaran, yang bertentangan dengan syarat pas pembantu rumah.
“Warga asing berkenaan tidak pernah memohon untuk mengubah syarat pas atau menukar kategori pas kepada pas profesional melalui JIM.
“Di samping itu, pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (JPK) mendapati sijil-sijil yang dikeluarkan oleh warga asing berkenaan tidak mendapat kebenaran dari pihak kerajaan,” jelasnya.
Menurutnya, wanita berkenaan ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Katanya, serbuan itu dijalankan oleh 20 pegawai daripada JIM Kuala Lumpur bersama lima pegawai daripada JPK. – UTUSAN










