Wajibkan pendidikan menengah elak keciciran murid

Wajibkan pendidikan menengah elak keciciran murid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang mewajibkan pendidikan menengah menandakan permulaan satu lagi langkah reformasi sistem pendidikan yang strategik dan bersejarah dalam landskap pendidikan negara.

Ini adalah satu lagi bukti iltizam dan komitmen kerajaan Madani yang mahu memastikan tiada anak Malaysia tercicir dari segi hak untuk mendapatkan pendidikan.

Ringkasnya, RUU ini wajar diangkat dan direalisasikan sebagai antara mekanisme serta intervensi penting dalam memartabatkan sistem pendidikan di negara ini.

Dengan menjadikan pendidikan menengah sebagai wajib, kerajaan berusaha memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya memperoleh kelayakan asas seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kemahiran vokasional setara. Ini akan memperkukuh peluang mereka dalam pasaran kerja serta memberi asas kukuh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Secara umumnya, Fasal 2 RUU ini meminda Seksyen 2 Akta 550 bagi menggantikan takrif ‘pendidikan wajib’, termasuk pendidikan menengah, manakala Fasal 3 pula meminda Seksyen 29A(2) Akta 550 bagi memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya adalah warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan di sekolah rendah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan rendah.

Pendaftaran itu perlu dibuat jika anak terbabit sudah mencapai umur enam tahun pada hari pertama Januari dalam tempoh persekolahan ketika didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah.

Pada masa sama Fasal 4 memasukkan seksyen baharu 32A, iaitu mengenai pendidikan menengah wajib ke dalam akta itu, bertujuan memberi kuasa kepada menteri untuk menetapkan pendidikan menengah menjadi menjadi pendidikan wajib.

Seksyen sama juga memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya warga tempatan dan menetap di negara ini perlu memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah sepanjang tempoh berkenaan serta penalti bagi pelanggaran Subseksyen 32A(2) dicadangkan. Anggota masyarakat khususnya ibu bapa perlu menerima penggubalan dasar tersebut sebagai suatu inisiatif yang memberi manfaat besar kepada masa depan anak-anak, sekali gus menyokong penuh pelaksanaannya kelak.

Secara prinsipnya, penguatkuasaan dasar ini penting untuk meningkatkan kapasiti pembangunan modal insan masa depan negara, mengurangkan keciciran pelajar, dan memastikan semua pelajar memperoleh kelayakan minimum seperti SPM.  –UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN