Veteran ATM dijangka bantu AKPS mulai Januari 2026

Veteran ATM dijangka bantu AKPS mulai Januari 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bakal memperkukuh operasi kawalan pintu masuk negara menerusi penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai tahun depan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, inisiatif tersebut diambil selepas perbincangan bersama pihak veteran ATM bagi meneliti pelaksanaan model kerjasama yang telah digunakan oleh agensi perkhidmatan lain sejak empat tahun lalu.

Katanya, penglibatan veteran itu akan dilaksanakan bagi membantu tugasan lapangan dan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan pintu masuk utama negara.

“Model ini telah terbukti berkesan dalam agensi lain dan kami melihat ia sesuai diterapkan di AKPS sebagai langkah memperkukuh tenaga kerja serta keupayaan taktikal di lapangan.

“Kuasa pelaksanaan tugas ini akan dijalankan bersama pegawai-pegawai AKPS dengan tanggungjawab yang akan ditentukan mengikut keperluan operasi semasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shuhaily berkata, hasil mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini turut mengarahkan agar kerjasama tersebut dilaksanakan secepat mungkin memandangkan ia telah dimaklumkan dalam Belanjawan 2026.

“Pelaksanaan ini berasaskan kontrak dan akan dimulakan pada Januari 2026 sebaik sahaja peruntukan disalurkan.

“Kami juga akan memulakan proses pengambilan 220 ahli itu secara berperingkat sepanjang tahun 2026 bagi memastikan pelaksanaan berjalan teratur,” katanya.

Terdahulu, AKPS melaporkan akan menerima 220 perjawatan baharu dengan keutamaan diberikan kepada veteran ATM.

Kehadiran veteran ini dilihat sebagai langkah strategik kerana mereka mempunyai pengalaman luas dari aspek disiplin, pertahanan dan keselamatan negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN