Upah pengawal, Tiara Andini trauma diintip 10 ‘peminat’ sampai bilik hotel - Utusan Malaysia

Upah pengawal, Tiara Andini trauma diintip 10 ‘peminat’ sampai bilik hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penyanyi popular Indonesia, Tiara Andini, mendedahkan pernah berdepan detik cemas apabila kira-kira 10 individu yang mengaku sebagai ‘peminat’ mengekori dan mengetuk pintu bilik hotelnya bertubi-tubi ketika berada di daerah Kendari, Indonesia.

Menurut Tiara, insiden yang berlaku beberapa tahun lalu itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya  membuatkan beliau trauma untuk menghadiri jemputan persembahan di daerah berkenaan.

“Kejadian ini sebenarnya sudah lama, tetapi cukup memberi kesan kepada saya. Kalau di Korea Selatan, mereka panggil peminat seperti ini sasaeng.

“Ketika itu saya berada di Kendari, dan sekitar 10 orang datang ke bilik hotel mengetuk pintu tanpa henti. Saya sangat panik,” katanya dalam satu temu bual menerusi program audio siar Bicara Dari Hari Sara Wijayanto, yang kini tular di media sosial.

Tambah penyanyi lagu Merasa Indah itu, beliau bersyukur kerana ketika kejadian, pasukan glamnya masih berada bersamanya di bilik berkenaan.

“Saya bernasib baik kerana tidak bersendirian. Pasukan saya masih ada ketika itu,” ujarnya.

Bagaimanapun, keadaan bertambah cemas apabila cubaan Tiara menghubungi pihak keselamatan hotel menemui jalan buntu.

“Saya panik sebab panggilan saya kepada pengawal tidak dijawab. Akhirnya, pasukan saya cadangkan untuk beri mereka ais krim yang memang ada dalam peti sejuk ketika itu.

Mereka tidak mahu beredar dan keadaan semakin tidak terkawal. Jadi kami beri ais krim dan minta mereka bertenang. Selepas itu, saya keluar sebentar untuk bergambar, barulah mereka beredar,” katanya.

Ekoran insiden itu, Tiara mengakui menjadi lebih berhati-hati setiap kali menerima undangan persembahan di luar kota serta mengambil langkah keselamatan tambahan dengan mengupah pengawal peribadi.

“Selepas kejadian itu, saya dan pasukan membuat keputusan untuk mengupah pengawal yang menjaga saya sebaik sahaja tiba di lapangan terbang.

“Pengalaman lalu membuatkan saya lebih berwaspada dan mahu melindungi diri,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN