PETALING JAYA: Keuntungan bersih pengeluar makanan ruji, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) melonjak empat kali ganda kepada RM35.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 berbanding RM7.3 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
Prestasi itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keputusan yang lebih kukuh daripada segmen Perdagangan Tepung dan Bijirin (FGT) di Malaysia dan Vietnam dan perniagaan Integrasi Ayam (PI).
Segmen FGT kumpulan, bersama-sama perniagaan Aquafeed, menyumbang keuntungan selepas cukai sebanyak RM39.2 juta pada suku dikaji, peningkatan 68.2 peratus berbanding RM23.3 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini dicapai meskipun pendapatan yang lebih rendah iaitu RM773.1 juta, berbanding RM799.2 juta pada tahun sebelumnya.
PT Bungasari, usaha sama milik 30 peratus MFM di Indonesia juga kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM3.4 juta pada suku tersebut, berbanding kerugian bersih sebanyak RM34.3 juta setahun yang lalu.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusannya, Teh Wee Chye berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan keberkesanan model perniagaan bersepadu dan sinergi MFM untuk pengilangan tepung dan pemprosesan ayam.
Ujarnya, perniagaan pengilangan tepung akan terus mengekalkan pendapatan kumpulan, sementara perniagaan integrasi ayam secara beransur-ansur kembali normal apabila permintaan pasaran stabil.
“Seperti yang sering kami ketengahkan, keutamaan kami adalah untuk memastikan bekalan makanan ruji yang andal dan tidak terganggu untuk negara. Tepung dan ayam kekal penting kepada isi rumah Malaysia.
“Perkara penting ini menyokong strategi operasi kami. Model bersepadu kami membolehkan kami mengurus ketidakstabilan, mengoptimumkan pengeluaran dan mengukuhkan peranan kami dalam melindungi keselamatan makanan negara sambil meningkatkan nilai pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.
Seterusnya, bahagian keuntungan kumpulan berjumlah RM1.0 juta pada suku ketiga 2025, berbanding bahagian kerugian sebanyak RM10.3 juta pada suku ketiga 2024.
Sementara itu, segmen PI, yang dikendalikan melalui usaha sama dengan Tyson Foods, mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku dikaji, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.9 juta daripada kerugian selepas cukai sebanyak RM5.2 juta pada tempoh yang sama sebelumnya.
Bahagian keuntungan kumpulan daripada 51 peratus pegangannya berjumlah RM2.0 juta, berbanding bahagian kerugian sebanyak RM2.7 juta pada suku ketiga 2024.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2025 (9M25), MFM mencatatkan keuntungan bersih 51.3 peratus lebih tinggi sebanyak RM96.9 juta daripada RM64.1 juta sebelumnya, manakala pendapatan kumpulankekal pada RM2.4 bilion berbanding RM2.3 bilion setahun lalu.
MFM tidak akan mengisytiharkan dividen untuk suku tahun yang dikaji namun kumpulan sebelum ini telah membayar dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham pada 25 September 2025, berjumlah RM18.6 juta, berkenaan dengan tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025. – UTUSAN











