PETALING JAYA: BMI, unit di bawah Fitch Solutions, menaikkan unjuran harga purata bagi kontrak hadapan minyak sawit mentah (CPO) Bursa Malaysia bagi tahun ini kepada RM4,320 setan, berbanding ramalan terdahulu RM4,150 setan.
Dalam laporan terbaharunya, BMI berkata, semakan naik itu mencerminkan permintaan import lebih kukuh daripada jangkaan oleh India, pembeli minyak sawit terbesar dunia, yang menyokong harga sepanjang suku ketiga tahun ini.
“Setakat 27 Oktober, kontrak hadapan CPO bagi bulan semasa ditutup pada RM4,335 setan, menjadikan purata harga tahun setakat ini sebanyak RM4,332 setan.
“Import minyak sawit India melonjak 43 peratus secara sukuan kepada suku, mewakili 56.9 peratus daripada jumlah import minyak boleh dimakan negara itu, meningkat daripada 52.4 peratus pada suku sebelumnya.
“Kenaikan itu didorong oleh harga minyak sawit yang lebih kompetitif berbanding minyak kacang soya dan bunga matahari,” menurut laporan itu.
Bagaimanapun, BMI memberi amaran bahawa jurang harga antara minyak sawit dan minyak soya semakin mengecil sejak Ogos, sekali gus berpotensi memperlahankan import dalam beberapa bulan akan datang apabila minyak soya menjadi lebih menarik dari segi harga.
Tambah laporan itu, meskipun permintaan India dijangka berkurangan selepas musim perayaan, minyak sawit masih kekal kompetitif dan dijangka mengekalkan bahagian pasaran yang besar dalam segmen minyak boleh dimakan.
“BMI menjangkakan penggunaan minyak sawit India kekal kukuh dalam musim 2025/26, disokong oleh stok domestik yang rendah dan unjuran peningkatan import sebanyak 11.5 peratus.
“Di peringkat global, pengeluaran minyak sawit dijangka meningkat 1.8 peratus kepada 80.1 juta tan, dipacu oleh kenaikan 3.3 peratus dalam pengeluaran Indonesia kepada 47.5 juta tan.
“Penggunaan global pula dijangka meningkat 2.5 peratus kepada 78.5 juta tan, sekali gus mengurangkan lebihan kepada 1.6 juta tan berbanding 2.1 juta tan sebelumnya,” tambahnya.
Katanya lagi, bagi Malaysia, pengeluaran dijangka meningkat 0.5 peratus kepada 19.5 juta tan, dengan pengeluaran dijangka memuncak pada Oktober sebelum menurun secara bermusim menjelang akhir tahun.
“Pengeluaran kukuh dan permintaan yang sederhana dijangka mengekalkan tahap stok minyak sawit Malaysia pada paras tinggi sehingga awal 2026.
“Melihat ke hadapan, dijangkakan terdapat sedikit penyusutan harga pada 2026 kepada RM4,300 setan, berikutan tekanan bekalan jangka pendek yang berkurangan. Namun begitu, kekangan struktur jangka panjang dijangka terus menyokong harga yang tinggi,” katanya.
Firma itu turut berkata, pertumbuhan hasil yang perlahan, kekangan peluasan tanah serta peningkatan piawaian kelestarian di negara pengeluar utama akan terus menyebabkan pasaran minyak sawit global kekal ketat dalam beberapa tahun akan datang. – UTUSAN










