Ulasan Malam Terlarang: Mahu menyeleweng ritual - Utusan Malaysia

Ulasan Malam Terlarang: Mahu menyeleweng ritual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA dua alasan besar mengapa ritual Puja Pantai dilakukan petani dan nelayan dulu kala. Pertama, agar setiap muara membuka laluan, mereka diizinkan menyeberang lautan.

Kedua, tangkapan banyak dan setiap sampan berlayar dilindung dari badai agar bertemu jalan pulang.

Suku Melayu memanggil ritual ini sebaga semah. Kaum Melanau memanggilnya kaul. Dalam tradisi masyarakat kepulauan lain nusantara memanggilnya persugihan. Kita menawarkan sasajen atau hidangan kepada makhluk ghaib untuk memakbulkan keinginan kita.

Tidak semua boleh ‘berbual’ secara langsung dengan semangat laut. Mereka meminta bantuan Tukang Semah atau Bapak Kaul sebagai pengantara.

Mereka menghidangkan beberapa makanan semasa pemujaan.

Tukang Semah memastikan ketupat, telur, rokok daun, kepala kerbau dan pulut kuning diberikan kepada semangat laut.

Bapak Kaul memastikan hidangan selalunya bukan daging dimasukkan ke dalam serahang untuk diberikan kepada Ipok-Ipok.

Bagaimanapun, selepas kemerdekaan, lebih tepat selepas Parti Islam Se-Malaysia memenangi pilihanraya di Kelantan, ritual seperti ini semakin berkurangan apabila parti itu mengharamkannya pada 1959.

Tapi, menurut cakap-cakap orang, tidak hanya wang dan kuasa yang boleh diseleweng. Ritual dengan makhluk halus pun boleh diseleweng juga.

Saya yakin, Malam Terlarang arahan Nurhanisham Muhammad atau labu menceritakan penyelewengan itu pada latar 1987.

Saya sedikit menyampah setiap kali menonton filem dengan latar masa yang tidak signifikan, sekadar mengada untuk menampilkan visual lebih vintaj atau estetik. Tapi Malam Terlarang tidak seperti itu.

Filem ini menceritakan kekacauan politik yang berlaku, peralihan kuasa dan evolusi kepimpinan.

Walau tidak menceritakan secara langsung, namun jika menyemak kembali sejarah Malaysia tahun 87, banyak juga perihal ketengahkan politik yang berlaku di Malaysia ketika itu yang mungkin disindir (tanpa sengaja atau tidak) Malam Terlarang menerusi Omar dan Haji Wahid dalam sebuah parti politik.

Malah, jika mahu menampilkan penyelewengan ritual Puja Pantai, zaman 80-an lebih signifikan kerana ketika itu jugalah ritual ini masih dilakukan walau tidak sepopular dan terbuka dulu.

Malah, pertandingan Ratu Kebaya masih mendapat tempat sekitar tahun 70-80 an.

Malam Terlarang digerakkan atas bahu Mawar, Shasha Abedul yang menyelongkar kejadian aneh berlaku membabitkan kematian kakaknya.

Keinginannya menjadi wartawan memberikan validasi kepada sikap ingin tahu yang tinggi membuatnya berjalan sendirian di hutan paya menjejaki bukti di detik nafas terakhir kakaknya.

Mawar yang dibesarkan keluarga terkenal dan kaya, hanya mahu mempunyai keluarga yang saling sayang dan tidak berahsia. Dia tidak mendapatkan itu semua.

Bagaimanapun, saya berpendapat, karakter Mawar perlu lebih digali khususnya emosi kerinduannya terhadap kehilangan sosok keluarga. Ini kerana, sebagai watak utama, saya sepatutnya terikat dan mempunyai empati untuk terus memahami eksplorasinya memperjuangkan keluarga.

Apa yang saya tangkap hanyalah rasa bersalah Mawar memanggil kakaknya sundal, membuatnya duduk mendengar semula kaset lama mereka berdua.

Adegan itu bagaimanapun membuatkan saya tanpa sengaja menemukan elemen anakronisme di mana lagu Ella, Dua Insan Bercinta terbit pada tahun 93, sedikit tidak padan dengan filem latar tahun 87.

Tapi dengan mengetepikan itu semua, saya tetap berpendapat lakonan Shasha belum cukup memberikan karisma yang sepatutnya untuk menjadi seorang Mawar, walau saya fikir dia sudah pun melakukan yang terbaik.

Malam Terlarang membina kesuraman daripada banyak aspek baik muziknya, syot di hutan paya bakau, kejutan dan sikap-sikap aneh dan tidak selesa seorang Sarimah.

Gabungan elemen ini berharap cukup rencah untuk memberikan keseraman. Bagaimanapun, sukar untuk saya tidak merasakan bahawa beberapa adegan khususnya kejutan seakan-akan dikutip daripada beberapa filem seram yang pernah wujud di dunia kemudian ditepek sahaja ke dalam cerita ini.

Tidaklah salah, cuma terasa muak sahaja.

Saya juga fikir, Pamakbul tidak perlu dijelmakan sebagai sosok, bermainlah dengan enigma sebuah rasa tidak selesa.

Eksploitasilah perasaan dan keadaan di mana kita tidak mengenal dengan siapa kita berurusan. Mewujudkan kesan visual khas karakter Pamakbul bukan sahaja aneh, malah menurunkan sifat mahal yang sudah dibina Malam Terlarang sejak awal.

Bahkan pemilihan Haneesya sebagai Pamakbul juga sangat tidak kena kerana gagal memberikan energi yang sepatutnya dengan Sarimah di bingkai yang sama.

Idea di sebalik permulaan konflik hanya untuk kaya dan cantik dalam Malam Terlarang tidak cukup menampar, menggugah dan menakutkan saya.

Bagaimanapun, saya tidak boleh menafikan, Malam Terlarang tetap membuat saya setia di atas kerusi kerana persembahan visualnya.

Saya tidak selalu menyentuh hal teknikal di dalam ulasan saya, namun Rabbani Sujak dan pasukannya sebagai pereka produksi wajar diberikan pujian.

Tidak mudah untuk mewujudkan aura 80-an yang begitu kuat sekali tambahan pula dengan peralatan ritual, busana Pamakbul yang begitu mirip sekali dengan kajian yang ditulis dalam jurnal akademik.Kekuatan rekaan set, juga visual (tolak adegan Pamakbul yang muncul dari laut) berjaya menyamarkan kita terhadap lompang-lompang yang ada dalam Malam Terlarang.

Apapun, ia tetap filem yang berbaloi untuk ditonton di wayang dengan harga RM15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN