Tunggakan saman trafik lebih RM6 bilion, guna AI semak semula data lapuk

Tunggakan saman trafik lebih RM6 bilion, guna AI semak semula data lapuk

SAIFUDDIN Nasution Ismail beramah mesra dengan pegawai PDRM selepas majlis perasmian PDRM Special Dialogue IV 2025 di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak dan menyaring tunggakan saman trafik yang kini mencecah lebih RM6 bilion secara lebih pantas dan berkesan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana kebanyakan rekod saman berkenaan merupakan data lama, termasuk melibatkan pesalah trafik yang mungkin telah meninggal dunia.

“Kita ada dua pilihan sama ada berdiam diri atau menerima teknologi ini sepenuhnya. Kita perlu menggunakannya di semua bahagian kerana AI sangat membantu meningkatkan prestasi, kecekapan dan ketepatan.

“Namun dalam penguatkuasaan trafik, ada cabaran tersendiri. Antaranya ialah tunggakan saman lama yang mencecah lebih RM6 bilion. Banyak rekod ini telah lapuk, malah ada pesalah yang sudah meninggal dunia.

“Saya pernah tegaskan bahawa kita tidak sepatutnya terus mewarisi rekod lama ini. Jika data tersebut dalam bentuk digital, AI boleh meneliti dan memadankan nama-nama ini dengan rekod kematian Jabatan Pendaftaran Negara dalam masa beberapa jam sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan PDRM Special Dialogue IV 2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menyeru PDRM untuk mengguna pakai teknologi AI secara menyeluruh merentasi semua jabatan bagi meningkatkan tahap kecekapan, ketepatan dan produktiviti pasukan keselamatan itu.

“Pembangunan sumber manusia, penguasaan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan serta penyediaan infrastruktur dan sistem yang sesuai amat penting.

“Jika digunakan dengan betul, AI mampu meningkatkan produktiviti, menambah ketepatan dan mengubah cara kerja polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),” katanya

Beliau turut menyentuh kejayaan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang kini menggunakan teknologi AI secara sepenuhnya dengan semua ulasan filem termasuk dialog dan babak diproses berdasarkan algoritma.

“Hasilnya, proses penilaian menjadi lebih cepat, tepat, sehingga boleh menjana pendapatan tahunan kira-kira RM12 juta. Ini lah bukti bahawa AI bukan sekadar konsep, sebaliknya mampu memberi hasil nyata,” katanya lagi sambil menambah bahawa PDRM boleh mengguna pakai pendekatan sama dalam penguatkuasaan, siasatan dan pengurusan trafik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN