KUALA LUMPUR: Keputusan kesahan dan pelaksanaan Titah Adendum yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sah dan boleh dilaksanakan telah dipercepatkan ke 22 Disember ini.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.
Semalam, Hakim Yee Ching menetapkan 5 Januari 2026 untuk keputusan permohonan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum itu.
Menurut surat firma guaman, Shafee & Co., pihaknya telah mendapat arahan daripada bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk memohon pertimbangan Mahkamah untuk mempercepatkan tarikh keputusan kerana kes itu telah berlanjutan terlalu lama.
“Anak guam kami merupakan seorang lelaki berusia 72 tahun yang telah berada dalam tahanan hampir dua tahun sejak Titah Adendum dikeluarkan, yang jelas menunjukkan bahawa beliau perlu menjalani baki pemenjaraan di rumah.
“Sebaliknya, beliau terus ditahan di penjara sehingga hari ini disebabkan prosiding yang masih berjalan sehingga sekarang. Bagi setiap hari yang beliau ditahan di penjara merupakan satu hari kebebasan yang tidak dapat diganti.
“Penafian ini bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi bukan sahaja kebebasan fizikal tetapi juga maruah dan keselamatan individu.
“Tahanan yang berpanjangan ini telah menyebabkan tekanan yang amat besar, trauma, serta kemerosotan ketara terhadap kesejahteraan emosi dan keseluruhan diri Najib,”ujar surat terbabit. – UTUSAN










