SILAM: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Balkis @ Borkes Kalinggalan, tampil dengan keyakinan baharu selepas mengambil keputusan besar meletakkan jawatan sebagai penjawat awam Tabung Haji di Lahad Datu demi memastikan perubahan kepimpinan di kawasan itu dapat direalisasikan.
Katanya, keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun ia dibuat atas dasar tanggungjawab terhadap rakyat yang sekian lama berdepan cabaran hidup tanpa penyelesaian tuntas daripada wakil rakyat sebelum ini.
Katanya, beliau melihat keperluan mendesak untuk memperjuangkan suara penduduk Silam yang semakin terpinggir dari segi pembangunan dan kebajikan asas.
“Saya meletak jawatan dari penjawat awam Tabung Haji di Lahad Datu semata-mata ingin melihat kepimpinan di DUN Silam berubah, dan saya tekad ingin membuat perubahan yang lebih baik kepada rakyat di DUN itu. Masalah utama di situ jalan raya, air dan api di mana rakyat selalu merungut tetapi wakil rakyat tidak buat sebarang perubahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya lagi, masalah utama yang paling kerap dibangkitkan penduduk adalah keadaan jalan raya yang rosak, bekalan air tidak konsisten serta gangguan elektrik yang berlaku berulang kali sehingga menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan keluarga.
NamuN, setelah aduan dibuat, penduduk mendakwa tiada tindakan berkesan daripada pemimpin terdahulu.
Mengulas lanjut, kempennya turut dibantu oleh jasa bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu memimpin negara dalam memerangi pandemik Covid-19.
Katanya, perkara itu sangat memberi kelebihan moral dan sokongan sentimental kepada PN dalam mendekati pengundi.
“Malah kempen saya ini dibantu dengan jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu memerangi Covid-19 dulu, dan perkara itu diingati masyarakat di DUN Silam. Sekali gus memudahkan saya berkempen,” katanya.
Balkis juga menyatakan komitmen untuk membawa pendekatan kerja yang lebih responsif, berasaskan data dan keperluan sebenar penduduk, jika diberikan mandat dalam PRN kali ini.
“Memang saya tiada pengalaman dalam politik, tetapi saya merupakan penjawat awam yang sentiasa berkhidmat untuk rakyat dalam pengurusan Tabung Haji sebelum ini, dan saya yakin kemampuan saya untuk mengubah DUN Silam menjadi lebih baik,” katanya-UTUSAN










