KUALA LUMPUR: Proses membawa keluar mangsa banjir termasuk rakyat Malaysia yang terperangkap di tiga hotel di Hat Yai, Thailand akibat banjir di wilayah berkenaan dilakukan menggunakan lori kontena.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu disebabkan laluan ke kawasan berkenaan masih belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
“Semalam, ramai rakyat Malaysia telah dibawa pulang, tetapi terpaksa menggunakan lori kontena kerana lori kecil dan bas tidak dapat melalui laluan tersebut.
“Kita terpaksa menempatkan ramai orang dalam kontena, seperti susunan di dalam pengangkutan besar dan mereka berjaya dibawa ke Bukit Kayu Hitam supaya tidak terus terperangkap di kawasan yang masih sukar diakses.
“Beberapa kontena telah digunakan, dan hari ini kita memulakan penggunaan bas kerana lebih banyak bas boleh melalui laluan yang tersedia.
“Semua rakyat Malaysia, Thailand, serta warga asing dari Brunei, Singapura dan Indonesia telah berjaya diselamatkan atas semangat ASEAN, memandangkan kita mempunyai konsulat di kawasan itu,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sama ada kerajaan merancang menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas, khususnya di Hat Yai hari ini dan langkah pencegahan bagi mengelakkan situasi sama berulang.
Mohamad dalam pada itu menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang percutian ke Thailand supaya menangguhkan perjalanan mereka.
“Jabatan Meteorologi telah mengesahkan hujan lebat dijangka berterusan akibat Monsun Timur Laut.
“Oleh itu, kerajaan menasihatkan mereka yang telah menempah hotel atau merancang lawatan supaya menangguhkan perjalanan ke kawasan terjejas bagi mengelakkan terperangkap dalam keadaan berbahaya,” katanya. – UTUSAN










