TASEK GELUGOR : Dua pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang yang dalam perjalanan pulang daripada menjalankan tugas dipuji kerana sanggup berhenti untuk turut sama mencari dan menyelamat seorang wanita yang ditimpa musibah di Jalan Pokok Machang di sini, hari ini.
Ketika kejadian, kedua-dua pegawai tersebut iaitu Penolong Penolong Penguasa Bomba, Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zainudin Abu Bakar yang juga pegawai Bahagian Penyiasatan kebakaran Zon 4 (Butterworth) dikatakan terserempak dengan dua waris mangsa yang sedang mencari wanita itu semasa melalui kawasan berkenaan, pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang berusia 23 tahun sebelum itu tidak pulang ke rumah sejak semalam, namun, motosikal yang ditungganginya telah dijumpai waris tersebut di tepi jalan.
Berdasarkan maklumat yang diterima, motosikal yang ditunggangi oleh mangsa dipercayai terbabas sebelum wanita itu terjatuh ke dalam kawasan paya dan dihanyutkan arus ke lokasi tersebut.
Mangsa akhirnya berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari motosikalnya dalam keadaan tersangkut di tepi semak berhampiran paya dan mengalami patah tangan serta kecederaan pada bahagian kaki sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Zon 4 JBPM negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Rosli Zakaria berkata, kepekaan serta keprihatinan dua pegawai tersebut wajar dipuji kerana tindakan pantas mereka telah berjaya menyelamatkan nyawa wanita terbabit.
“Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini. Ia membuktikan bahawa pasukan bomba sentiasa komited dan bersedia, bukan sahaja ketika panggilan kecemasan diterima, tetapi juga dalam situasi harian,” katanya.-UTUSAN










