Tiga sarjana negara dilantik penyandang Kursi Akademik Luar Negara

Tiga sarjana negara dilantik penyandang Kursi Akademik Luar Negara

ZAMBRY Abd Kadir menyampaikan sijil Kursi Pengajian Malaysia - Victoria University of Wellongton, New Zealand kepada Prof Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga sarjana negara dilantik sebagai penyandang Kursi Akademik Luar Negara bagi tempoh dua tahun bermula 1 Disember ini, membabitkan universiti terkemuka di Amerika Syarikat, New Zealand dan China.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelantikan itu sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman luas mereka sebagai pengajar serta penceramah di luar negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan Denmark, khususnya dalam bidang dasar awam serta etnik.

Tokoh terlibat ialah Prof. Dr. Shahanum Md. Shah sebagai Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di Ohio University; Prof. Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Victoria University of Wellington dan Prof. Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University.

“Mereka akan meneruskan tanggungjawab tokoh akademik terdahulu dalam memartabatkan pengajian Melayu dan pengajian Malaysia,” katanya pada Program Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga sarjana dipilih berdasarkan kepakaran serta pencapaian akademik cemerlang masing-masing dalam bidang muzik, dasar awam serta fonologi dan pengajian Melayu.

“Kerusi ini diwujudkan bagi memperkukuh pengajian Malaysia dan Melayu di universiti luar negara. Kita yakin mereka akan membawa naratif Malaysia ke persada antarabangsa,” tambahnya.

KPT memaklumkan pelantikan berkenaan diyakini dapat meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperkukuh hubungan akademik dengan institusi luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN