Tiga pelajar sekolah tidak mengaku buli rakan junior - Utusan Malaysia

Tiga pelajar sekolah tidak mengaku buli rakan junior

TIGA pelajar lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Parit hari ini atas pertuduhan membuli rakan sekolah, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Tiga pelajar lelaki tingkatan empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuli rakan sekolah mereka minggu lalu.

Ketiga-tiga tertuduh berusia 16 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan, tiga remaja itu didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan menghina terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun dengan cara menolak dan menanggalkan seluarnya di hadapan orang ramai.

Perbuatan itu dilakukan dalam dewan sebuah sekolah menengah di Parit dalam daerah Perak Tengah pada pukul 8.30 pagi, 14 November 2025.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Syukri Abdul Talib manakala ketiga-tiga pelajar pula diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM500 dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak.

Kesemua tertuduh membayar wang jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN