KUALA LUMPUR: Kaedah penguatkuasaan lebih tegas termasuk pelaksanaan tindakan three strikes out (kesalahan sama tiga kali berturut-turut) terhadap syarikat pengendali kenderaan berat yang melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan bakal dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, di bawah pendekatan itu, syarikat yang didapati melakukan kesalahan sama berulang kali akan dikenakan penggantungan lesen pengendali atau permit kenderaan sebagai langkah memastikan pematuhan undang-undang jalan raya.
“Pada masa sama, kementerian sedang mengkaji untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperluas liabiliti kepada pihak penghantar (consignors) dan penerima barang (consignees) yang memberi arahan atau tekanan kepada pemandu supaya membawa muatan melebihi had dibenarkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN–Setiu) mengenai langkah memastikan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat benar-benar berkesan termasuk dalam menangani isu integriti pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Anthony berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkukuh tindakan penguatkuasaan melalui operasi khas seperti Op Gempur dan Op Teknikal bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang berada pada tahap tertinggi.
“JPJ negeri juga meningkatkan operasi terhadap kenderaan perdagangan dan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.
Beliau berkata, Puspakom Sdn. Bhd. turut diwajibkan mendapatkan pensijilan ISO MS 37001: Sistem Pengurusan Anti Rasuah serta CIP V2.0 (Program di bawah Sistem Integriti Korporat Malaysia) sebagai sebahagian daripada Syarat Pelesenan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi memastikan pelaksanaan dasar antirasuah di semua peringkat pentadbiran syarikat.
“JPJ turut mewajibkan semua pemeriksa kenderaan Puspakom menjalani Program Pensijilan Kompetensi Pemeriksa Kenderaan (PKPK) bagi memastikan mereka sentiasa kompeten dan berintegriti dalam melaksanakan pemeriksaan.
“Kementerian dan JPJ juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan isu integriti dapat ditangani dengan lebih berkesan di semua peringkat pelaksanaan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










