KUALA LUMPUR: Pelakon, Qi Razali, 48, tidak menafikan kemenangan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini memberikan impak yang besar terhadap karier lakonannya.
Qi atau Qushairi Mohammed Razali bagaimanapun memaklumkan trofi yang dimiliki itu tidaklah menjadikan dirinya seorang pelakon yang terlalu cerewet dalam memilih naskhah atau watak.
“Saya sejak dulu pilih naskhah atau watak yang mampu saya lakukan sahaja. Kalau tak boleh buat, memang saya akan tolak.
“Tapi saya tidaklah cerewet ibarat lepas menang anugerah hanya pilih naskhah yang setaraf Hollywood sahaja.
“Saya masih mahu bekerjasama dengan ramai pengarah dan teroka lebih banyak watak dan jalan cerita. Tapi ikut kemampuan,” katanya.
Qi, pada FFM34 baru-baru ini, mengenepikan Beto Kusyairi, Sharnaaz Ahmad , Aeril Zafrel dan Tony Eusoff sekali gus diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik hasil persembahan dalam filem Babah.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini pada masa yang sama berharap kemenangannya di FFM34 akan menjadi pembuka jalan dan memberi semangat kepada pelakon-pelakon berbakat yang masih belum diketengahkan dalam industri drama dan perfileman tanah air.
“Saya harap pengarah buka mata kepada pelakon berbakat lain yang masih belum diketengahkan.
“Pelakon-pelakon ini mungkin tidak terbabit dalam filem-filem pecah panggung, tetapi mereka sangat berbakat, ada nilai seni tersendiri justeru wajar diberi peluang,” kongsinya.-UTUSAN









